Oleh Santhiyah Thinagaran & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Usaha membentuk kampus yang lebih lestari terus diperkasakan oleh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi pelaksanaan kempen Eco Campus 360, sebuah projek akhir tahun oleh pelajar akhir tahun, ijazah sarjana muda komunikasi sosial dengan kepujian. Inisiatif ini mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar di peringkat institusi pengajian tinggi.
Kempen Eco Campus 360 yang membawa slogan “One Campus, One Mission” merupakan satu usaha menyeluruh untuk menerapkan konsep 'green campus initiative' dalam kalangan warga universiti. Projek ini telah berlangsung selama hampir sebulan, iaitu dari 26 November hingga 20 Disember 2025, dan dilaksanakan di sekitar Kampus Baru UPSI Proton City serta Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS). Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang serta dilaksanakan secara sistematik menerusi pelaksanaan mini kempen yang berfokus bagi meningkatkan tahap kesedaran, memperluas pengetahuan, serta menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam usaha menjaga dan memelihara alam sekitar di persekitaran kampus.
Matlamat utama pelaksanaan kempen ini adalah untuk memperkukuh dan menanamkan budaya kelestarian alam sekitar dalam kehidupan seharian warga kampus, terutamanya dalam kalangan pelajar, pensyarah, dan kakitangan universiti. Kempen ini bukan sahaja menumpukan kepada pengurangan kesan pencemaran dan pembaziran sumber semula jadi, tetapi juga bertujuan untuk membentuk kesedaran serta sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar secara menyeluruh. Dengan melibatkan pelbagai aktiviti yang bersifat pendidikan dan praktikal, seperti program kitar semula, penjimatan tenaga, dan penggunaan sumber secara berhemah, kempen ini diharapkan dapat membimbing warga kampus untuk mengamalkan gaya hidup lestari secara konsisten.
Menariknya, Eco Campus 360 dilaksanakan melalui tujuh mini kempen yang masing-masing membawa mesej dan pendekatan kelestarian tersendiri. Mini kempen Compost It memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cara menghasilkan baja kompos menggunakan sisa organik harian, sekali gus membantu mengurangkan pembuangan sisa makanan. Mini kempen Tapau pula menggalakkan penggunaan bekas makanan sendiri sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, mini kempen Swag Fashion menekankan konsep pertunjukan fesyen menggunakan pakaian terpakai bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan guna semula dan pengurangan pembaziran tekstil. Mini kempen EcoLab dan Rumah Hijau pula memberi penekanan kepada pendidikan alam sekitar serta pengenalan kepada amalan hijau secara praktikal, termasuk aktiviti penanaman, penjagaan tumbuhan dan penghasilan prototaip yang menyumbang kepada kelestarian alam.
Bagi mini kempen Green Bag, pelajar digalakkan menggunakan beg tote yang dihias dengan lukisan corak sendiri sebagai alternatif kepada pembelian beg baharu. Manakala mini kempen Eco Stride mempromosikan gaya hidup sihat dan mesra alam melalui aktiviti berjalan kaki serta pengurangan penggunaan kenderaan dalam kawasan kampus.
Menurut seorang peserta mini kempen ini, projek seperti Eco Campus 360 membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu, malah mampu bertindak sebagai agen perubahan dalam komuniti kampus. Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan kempen yang dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus adalah berkesan kerana bersifat praktikal serta dekat dengan kehidupan seharian pelajar.
Secara keseluruhannya, Eco Campus 360 bukan sekadar memenuhi keperluan akademik bagi projek akhir tahun, malah mencerminkan komitmen mahasiswa UPSI dalam menyokong usaha kelestarian alam sekitar. Melalui gabungan komunikasi strategik dan tindakan berimpak, inisiatif ini diharapkan dapat menyemai kesedaran jangka panjang serta menjadi contoh pelaksanaan kempen hijau di institusi pengajian tinggi lain.
