Kempen Ecolab Tarik Minat Mahasiswa UPSI di Karnival Badan Pelajar

 

Gambar oleh : Muhammad Firdaus

Oleh: Gregory Shane Bong & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

Kempen Ecolab yang berlangsung di UPSI Arena Sport City sempena Karnival Badan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berjaya menarik perhatian ratusan pelajar menerusi pendedahan kepada inovasi kelestarian alam sekitar secara kreatif dan berkos rendah.

Kempen yang dianjurkan Jawatankuasa Ecolab dengan sokongan badan pelajar UPSI dan kerjasama JHEPA (Jabatan Hal Ehwal Pelajar) itu berlangsung dari 9 pagi hingga 1 tengah hari dan menampilkan pameran inovasi lestari, bengkel ciptaan kos rendah serta sesi perkongsian idea berkaitan pemeliharaan alam sekitar.

Ahli Jawatankuasa Kempen Ecolab, Encik Firdaus berkata lebih 1,000 pelajar menghadiri karnival tersebut, dengan lebih 100 pelajar mengunjungi booth Ecolab sepanjang tempoh penganjuran.

“Booth ini memberi peluang kepada pelajar melihat dan memahami bagaimana inovasi berkaitan alam sekitar boleh dihasilkan dengan kos yang rendah. Ramai pelajar memberikan maklum balas positif dan menunjukkan minat untuk mencuba sendiri,” katanya ketika ditemu ramah di sini.

Beliau berkata tahap kepuasan terhadap pelaksanaan kempen itu adalah sekitar 70 peratus, meskipun berdepan kekangan ruang yang terhad.

“Saya berharap kempen seperti ini dapat menyedarkan pelajar tentang kepentingan kelestarian alam, seterusnya mendorong mereka menjana idea dan melakukan perubahan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Maklum balas pelajar turut menunjukkan minat untuk mengaplikasikan idea-idea lestari itu di kolej kediaman dan menjadikannya sebagai projek kecil atau penyelidikan pada masa hadapan.