Program ‘Pack & Protect’: Zero Waste Initiative berjaya menarik perhatian pelajar UPSI

 

Gambar oleh: AJK Unit Media & Publisti, Pack & Protect Zero Waste Initiative

Oleh: Kirtisha Selvarajoo & Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

Pelajar Tahun Akhir AB14-ISM Komunikasi Sosial dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Kempen Eco Campus 360, One Campus: One Mission dengan menganjurkan Program ‘Pack & Protect’: Zero Waste Initiative berkolaborasi dengan Program Dapur Kasih Bitara Siri 21, 2025 anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang bertempat di Masjid Al -  Mursyiddin, Universiti Pendidikan Sultan Idris pada pukul 12:00pm - 3:00pm yang bertarikh 26 November 2025. Hampir 1000 pelajar UPSI yang turut hadir bagi menjayakan program tersebut dengan membawa bekas makanan sendiri. Selain itu, program ini juga telah berkolaborasi dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPSI) dam Fakulti Pembangunan Manusia (FPM UPSI).


Pada hari tersebut, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sarawak (BHEP, UNIMAS) yang sedang menjalankan sesi lawatan penanda aras ke UPSI dan penyelaras kempen serta pensyarah-pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media juga turut menyertai program tersebut. Inisiatif program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai penggunaan bekas sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik dan mengamalkan amalan hidup lestari. Selain itu, penggunaan bekas sendiri dapat mengurangkan kebergantungan manusia terhadap plastik demi menjaga kesihatan dan kebersihan alam sekitar. Penggunaan bekas sendiri membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan dapat mewujudkan sikap yang positif dalam kalangan mahasiswa supaya mereka dapat mengamalkan amalan ini dalam masa depan. Amalan ini juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar. 


Bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan pelajar ke Program ‘Pack & Protect’: Zero Waste Initiative, pelajar-pelajar tahun akhir yang terdiri daripada 32 pelajar telah dan mencipta berbagai jenis video interaktif yang lebih dikenali sebagai konten digital untuk menarik perhatian mereka. Tambahan pula, makanan yang telah dimasak telah diagihkan secara percuma kepada semua pelajar tanpa sebarang bayaran.


Bagi meningkatkan sambutan para pelajar di UPSI, pelajar-pelajar tahun akhir tersebut juga telah menyediakan 100 set kutleri secara percuma kepada 100 peserta yang terawal dan mata MyChamp kepada semua mahasiswa/i yang hadir ke program tersebut dengan membawa bekas makanan sendiri. Amalan membawa dan menggunakan bekas sendiri menyokong kempen pengurangan sisa dan kempen ini juga selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG 15) iaitu Kehidupan di Darat, ‘Life on Land’ .SDG 15 dengan terangnya menjelaskan bahawa amalan pengurangan penggunaan plastik, mengamalkan kitar semula, menanam pokok serta menyokong inisiatif hijau dapat membantu dalam mengurangkan pencemaran. 


Di samping itu, pengarah program bagi ‘Pack & Protect, Zainab Nabilah juga turut berkata bahawa penggunaan bekas sendiri juga dapat memberi manfaat kepada semua golongan kerana para pelajar dan masyarakat dapat menjimatkan kos dalam jangka yang panjang selain daripada menjaga kelestarian alam sekitar dan kesihatan .  

Secara keseluruhannya, penggunaan dan pengamalan bekas sendiri merupakan inisiatif yang sangat baik untuk diamalkan. Walaupun inisiatif ini merupakan inisiatif yang kecil, impaknya adalah besar kepada para pelajar UPSI kerana apabila seseorang individu mengurangkan penggunaan pencemaran plastik, mahasiswa/i tersebut dapat melindungi kesihatan, kebersihan alam sekitar dan menjimatkan kos. Amalan dan inisiatif tersebut haruslah dijadikan sebagai budaya dalam kalangan pelajar-pelajar UPSI dalam kehidupan seharian mereka.