Ditulis Oleh : Raja Yaasmiin Raja Zainal Abidin & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim, 15 Januari 2025 - Isu kesediaan graduan Pendidikan untuk melangkah ke alam persekolahan kini menjadi suatu topik yang hangat dalam kalangan warga pendidik dan pakar akademik. Walaupun dilengkapi dengan segulung ijazah, timbul persoalan besar sama ada latihan intensif di universiti benar-benar mencukupi untuk mendepani realiti bilik darjah yang semakin hari semakin kompleks dan mencabar.
Satu trend membimbangkan menunjukkan peningkatan kadar tekanan emosi yang drastik dalam kalangan guru baharu. Faktor kejutan budaya (culture shock) dan kekurangan sokongan mentor yang sistematik di sekolah sering menyebabkan graduan merasa terasing dan hilang arah. Teori pedagogi yang dipelajari di dewan kuliah kadangkala dilihat sangat berbeza dengan dinamik sebenar di lapangan.
“Kami diajar cara mengajar, tetapi kami kurang didedahkan kepada teknik pengurusan konflik dan cara menguruskan emosi apabila berhadapan dengan 40 murid yang mempunyai latar belakang serta tahap literasi berbeza dalam satu masa," ujar seorang graduan Pendidikan Islam, Elida. Luahan ini mencerminkan jurang antara kepakaran akademik dan kemahiran praktikal dalam menangani kerenah manusiawi.
Oleh itu, aspek ketahanan mental dan kemahiran insaniah perlu diperkasakan dengan lebih meluas di peringkat universiti. Tanpa persediaan psikologi yang teguh, guru muda berisiko mengalami kelesuan upaya (burnout) seawal tahun pertama perkhidmatan. Hal ini bukan sahaja menjejaskan kualiti penyampaian ilmu, malah boleh membantutkan motivasi murid untuk belajar.
Sebagai langkah proaktif, cadangan pemanjangan tempoh latihan mengajar (praktikum) dan pemantapan sistem mentor-mentee di sekolah dilihat sebagai langkah kritikal. Sistem sokongan ini bertindak sebagai "jaring keselamatan" yang membimbing guru baharu dalam menguruskan beban kerja pentadbiran serta emosi. Transformasi dalam latihan perguruan ini penting bagi memastikan transisi dari dewan kuliah ke bilik darjah berjalan lancar, sekali gus mengurangkan kadar keciciran guru baharu demi kelestarian sistem pendidikan negara.