Aktiviti Sukan di UPSI Galakkan Gaya Hidup Sihat dalam Kalangan Mahasiswa

(Gambar temubual bersama pelajar tahun ketiga) 

Oleh : Megat Aidid Irfan Bin Megat Aminuddin

TANJONG MALIM, — Pelbagai aktiviti sukan yang dijalankan oleh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) setiap petang dilihat mampu menggalakkan gaya hidup sihat dan membina suasana sosial yang positif di kampus. Aktiviti ini bukan sahaja menarik perhatian pelajar, malah menjadi medium untuk mewujudkan suasana kampus yang lebih aktif dan menyeronokkan, sambil memberi peluang pelajar menyeimbangkan kehidupan akademik dan sosial mereka.
Setiap petang, kawasan terbuka di UPSI dipenuhi pelajar yang bermain futsal, bola tampar, bola sepak, badminton, jogging, dan senaman ringan secara santai. Aktiviti ini dijalankan secara spontan tanpa sebarang penganjuran rasmi, namun mendapat sambutan hangat daripada pelajar daripada pelbagai fakulti dan peringkat pengajian, termasuk pelajar baharu yang ingin menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. Aktiviti-aktiviti ini membolehkan mereka
berinteraksi, membina persahabatan baru, dan mengeratkan hubungan antara fakulti yang berbeza.
Seorang pelajar tahun tiga “Mohamad Alif Daniel Bin Mohd Zulhamiros” menyatakan bahawa penglibatan aktif dalam sukan membantunya mengekalkan keseimbangan antara akademik dan kehidupan sosial. Aktiviti fizikal secara berkala juga membantu meningkatkan fokus, disiplin diri, dan kesejahteraan mental pelajar. Pelajar lain turut menyatakan bahawa sukan menjadi cara menyeronokkan untuk mengisi masa lapang sambil menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Kemudahan sukan yang lengkap seperti gelanggang tertutup, padang terbuka dan trek larian menyokong pelaksanaan aktiviti ini. Akses mudah membolehkan pelajar memanfaatkan masa lapang secara berfaedah. Ramai pelajar memilih waktu petang kerana cuaca lebih nyaman dan aktiviti akademik telah selesai, manakala hujung minggu memberi peluang untuk mereka bersenam lebih lama atau bermain bersama rakan-rakan.
Secara keseluruhannya, aktiviti sukan santai di UPSI bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan fizikal, malah memberi impak positif terhadap kesejahteraan mental, interaksi sosial dan membentuk budaya hidup sihat serta seimbang dalam kalangan mahasiswa.