Ayam Gepuk Jadi Pilihan Pelajar, Penulis Alami Sendiri Tarikan Hidangan Pedas

oleh Masturina binti Azhar dan Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan . 

Ayam gepuk semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar universiti sebagai hidangan harian, khususnya bagi mereka yang menggemari makanan pedas dan mengenyangkan.

Tinjauan yang dilakukan di sekitar kawasan kampus minggu lalu mendapati kebanyakan pelajar memilih ayam gepuk kerana harganya yang berpatutan serta mudah didapati. Menu ini turut menjadi pilihan selepas waktu kuliah kerana penyediaannya yang cepat dan sesuai dengan jadual pelajar yang padat.

Penulis sendiri berpeluang merasai pengalaman menikmati ayam gepuk di salah sebuah kedai makan berhampiran kampus. Hidangan ayam yang rangup di luar dan lembut di dalam, digandingkan dengan sambal pedas yang boleh dipilih mengikut tahap kepedasan, menjadikan hidangan ini sesuai dengan selera pelajar masa kini.

Selain rasa, suasana kedai yang santai turut menarik pelajar untuk makan bersama rakan-rakan, sekali gus menjadikan ayam gepuk bukan sekadar pilihan makanan, malah ruang sosial untuk berinteraksi dan berehat selepas seharian mengikuti kuliah.

Fenomena ini menunjukkan bahawa makanan berkonsep ringkas, sedap dan mampu milik terus menjadi keutamaan dalam pemilihan makanan harian pelajar.

  • Gambar Ayam Gepuk ( Disediakan oleh Masturina )