Andreas Anak Gabrieal & Dr Ahmad Sauffiyan Hasan
TANJONG MALIM – Bagi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), nama Baden Bundle bukanlah satu nama yang asing lagi. Terletak strategik di pekan Tanjong Malim, cawangan bundle ini terus kekal menjadi lokasi kunjungan utama buat pelajar yang ingin tampil bergaya tanpa perlu mengoyakkan poket mereka.
Sejak sekian lama, budaya "thrifting" atau membeli barangan terpakai telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup warga kampus. Tinjauan mendapati, setiap kali hujung minggu atau selepas waktu kuliah, premis ini pasti dipenuhi oleh anak muda yang gigih menyelongkar rak-rak pakaian demi mencari "harta karun" yang tersembunyi.
Faktor utama yang menarik perhatian pelajar UPSI ke Baden Bundle adalah kepelbagaian pilihan yang ditawarkan. Daripada kemeja T vintaj, jaket denim, hinggalah kepada beg tangan dan kasut berjenama, semuanya boleh didapati dengan harga yang sangat berpatutan. Bagi seorang pelajar yang perlu bijak menguruskan pinjaman PTPTN atau wang saku, Baden Bundle menawarkan solusi untuk kekal mengikut trend semasa.
Seorang pelajar Diploma Komunikasi Sosial yang ditemui berkata, "Bundle di sini sangat memuaskan. Selain harga yang murah, kualiti pakaiannya juga masih dalam keadaan terbaik. Kadang-kadang kita boleh jumpa jenama besar dengan harga bawah RM20 sahaja."
Bagi komuniti kreatif di UPSI, kunjungan ke Baden Bundle bukan sekadar untuk membeli pakaian harian, malah menjadi sumber inspirasi untuk tugasan fotografi atau lakonan. Kepelbagaian gaya dari era 80-an hingga 90-an yang ada di sini memudahkan pelajar mencari kostum bertema dengan bajet yang minima.
Suasana kedai yang luas dan tersusun memudahkan pelanggan untuk mencuci mata dalam tempoh yang lama. Malah, ia juga menjadi tempat untuk mereka bersosial dan berkongsi minat yang sama dalam dunia fesyen vintaj.
Fenomena ini membuktikan bahawa mahasiswa masa kini lebih menghargai nilai kelestarian dan ekonomi berbanding jenama mewah yang baru. Baden Bundle Tanjong Malim bukan sahaja sekadar kedai pakaian terpakai, tetapi telah menjadi satu identiti dan "checkpoint" wajib bagi setiap warga sarjana yang menuntut di Muallim.