gambar: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dan Presiden China, Xi Jinping. - Foto REUTERS
BEIJING: Pihak berkuasa China arah syarikat tempatan henti guna perisian keselamatan siber yang dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) dan Israel atas kebimbangan keselamatan negara.
Menurut tiga individu (sumber) yang dimaklumkan mengenai perkara itu, ia susulan peningkatan ketegangan perdagangan dan diplomatik antara China dan AS semakin meningkat.
Kedua-dua pihak bersaing dalam dominasi teknologi, sekali gus mendorong Beijing untuk menggantikan teknologi buatan Barat dengan alternatif tempatan.
Antara syarikat AS yang perisian keselamatan sibernya sudah diharamkan ialah VMware milik Broadcom, Palo Alto Networks dan Fortinet, manakala syarikat Israel termasuk Check Point Software Technologies, kata dua sumber.
Sumber ketiga berkata syarikat lain yang turut diharamkan termasuk Mandiant dan Wiz milik Alphabet, yang pengambilalihannya diumumkan Alphabet tahun lalu, serta syarikat AS lain seperti CrowdStrike, SentinelOne, Recorded Future, McAfee, Claroty, dan Rapid7.
Syarikat Israel CyberArk, yang pengambilalihannya diumumkan oleh Palo Alto tahun lalu, turut tersenarai, bersama Orca Security dan Cato Networks, dua syarikat Israel, serta Imperva yang dibeli syarikat pertahanan Perancis, Thales, pada 2023.
Recorded Future, melalui e-mel berkata ia tidak menjalankan perniagaan di China dan tiada niat untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, McAfee pula berkata ia adalah syarikat berteraskan pengguna dan teknologinya tidak dibangunkan untuk kegunaan kerajaan atau perusahaan.
CrowdStrike berkata ia tidak menjual produk ke China, tiada pejabat, pekerja atau infrastruktur di sana, justeru hanya terjejas secara minimum.
SentinelOne pula berkata ia tiada pendedahan hasil terus ke China, dengan alasan yang sama manakala Claroty berkata ia tidak menjual produk ke China.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Orca Security, Gil Geron, berkata syarikatnya belum dimaklumkan mengenai tindakan itu.
Geron menambah syarikatnya menumpukan kepada pertahanan dan larangan itu akan menjadi suatu langkah yang memudaratkan.
Reuters tidak dapat mengesahkan berapa banyak syarikat China menerima notis itu, yang menurut sumber, dikeluarkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pihak berkuasa China bimbang perisian terbabit boleh mengumpul dan menghantar maklumat sulit ke luar negara, kata sumber.
Pengawal selia internet China, Cyberspace Administration of China, dan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat tidak memberi sebarang maklum balas kepada permintaan untuk komen.
Beberapa syarikat AS dan Israel yang berdepan larangan sebelum ini pernah mendakwa China terbabit dalam operasi penggodaman, dakwaan yang dinafikan China. - REUTERS
