Oleh Arif Imran Haqimy Bin Ahmad & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Tanjong Malim - Cibo Market di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melabuhkan tirai pada rabu lepas sebagai penutup bagi semester semasa, dengan harapan baharu daripada Exco Unit Kediaman Luar Kolej (UKLK), Muhamad Izan Hafizul Bin Rasyid, untuk melibatkan pelajar antarabangsa membuka gerai makanan kebangsaan pada semester akan datang.
Program Cibo Market yang berlangsung sepanjang minggu di kampus UPSI Tanjong Malim telah menjadi medan utama pelajar menonjolkan kreativiti dan semangat keusahawanan. Gerai makanan, minuman, serta produk pelajar mendapat sambutan hangat daripada warga kampus dan masyarakat setempat.
Menurut Muhamad Izan Hafizul, pihak UKLK melihat potensi besar untuk menjadikan Cibo Market sebagai ruang integrasi budaya. “Hari ini merupakan hari terakhir Cibo Market untuk semester ini. Namun, kami berharap pada semester akan datang pelajar antarabangsa dapat turut serta dengan membuka gerai yang menjual makanan tradisi negara mereka. Ini bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian budaya, tetapi juga mengeratkan hubungan antara komuniti kampus,” katanya ketika ditemui.
Pelajar antarabangsa dari Indonesia, China, dan Timur Tengah dipercayai mampu memberikan satu pengalaman yang menarik untuk para pengunjung pada masa akan datang. Mereka percaya peluang tersebut dapat memperkenalkan identiti budaya masing-masing kepada rakan-rakan di UPSI, selain memberi pengalaman berniaga yang bermanfaat.
Kehadiran pengunjung yang ramai sepanjang penganjuran membuktikan minat terhadap produk pelajar, sekali gus memberi motivasi kepada penganjur untuk memperluas skop penyertaan pada masa akan datang.
Dengan berakhirnya Cibo Market bagi semester ini, harapan untuk melibatkan pelajar antarabangsa pada semester hadapan dijangka memperkayakan pengalaman keusahawanan dan menjadikan UPSI sebagai kampus yang meraikan kepelbagaian budaya. Inisiatif ini diyakini mampu memberi impak positif terhadap hubungan sosial dan imej universiti sebagai pusat pendidikan bertaraf global.
