Oleh Sharifah Syakirah Shahabudin Binti Syed Kamarulzaman & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM – Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi bergema dengan kehebatan legenda muzik nusantara, Datuk Dr. M. Nasir, menerusi Konsert Gendang Pati @ UPSI. Kehadiran tokoh seni yang juga pemegang Ijazah Kehormat Doktor Persembahan UPSI itu disambut penuh gimik dan sorakan daripada lebih 3,000 penonton yang terdiri daripada mahasiswa, kakitangan universiti, serta peminat tegar dari luar Perak.
Membuka tirai dengan lagu Pawana yang penuh bertenaga, M. Nasir mempamerkan kualiti vokal yang masih mantap walaupun sudah lebih empat dekad berkarya. Susunan muzik bagi konsert kali ini diberi nafas baharu dengan penekanan kepada elemen perkusi dan gendang Melayu, selaras dengan tema "Gendang Pati". Antara lagu yang mendapat tepukan gemuruh termasuklah Tanya Sama Itu Hud-Hud, Langgam Pak Dogol, dan Mentera Semerah Padi yang dipersembahkan dengan penuh karisma.
Apa yang menarik, konsert ini turut menjadi platform praktikal bagi pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) untuk terlibat secara langsung dalam pengurusan pentas dan produksi konsert skala besar. Kolaborasi antara M. Nasir bersama kumpulan koir universiti, de Vokalis, dalam lagu Mustika membuktikan sinergi antara artis berpengalaman dan bakat muda mampu menghasilkan sebuah karya seni yang sangat bermutu tinggi.
Konsert yang berlangsung selama dua jam itu berakhir dengan lagu ikonik Apokalips yang menyaksikan seluruh dewan berdiri dan menyanyi bersama. Selain meraikan kecemerlangan seni, sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert ini dilaporkan akan disalurkan ke Dana Wakaf Pendidikan UPSI bagi membantu kebajikan pelajar yang memerlukan, sekali gus menjadikan acara ini sebuah naskhah seni yang penuh dengan nilai kemanusiaan.