| Bahagian Keselamatan Di Pintu Masuk Utama UPSI |
Ditulis oleh: Sharifah Nadiah
TANJUNG MALIM – Bahagian Keselamatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara rasmi mengumumkan penguatkuasaan syarat baharu yang lebih teratur bagi permohonan pelekat (sticker) kenderaan bermula semester ini. Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan ekosistem kampus kekal selamat, selain mengoptimumkan penggunaan ruang parkir yang disediakan khusus untuk warga universiti yang layak.
Berdasarkan garis panduan terbaharu itu, kelayakan permohonan kini difokuskan kepada pelajar pascasiswazah, pelajar diploma khas, serta pelajar ijazah sarjana muda dan diploma semester lima ke atas.
Bagi memastikan ketelusan, kenderaan yang didaftarkan mestilah di bawah nama ibu, bapa, atau diri pelajar sendiri. Manakala bagi pelajar yang menetap di luar kampus, permohonan perlu disertakan dengan dokumen pengesahan daripada Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) bagi memudahkan urusan pemantauan kebajikan.
Penguatkuasaan yang lebih sistematik ini dilihat mampu menyelesaikan beberapa isu berbangkit sebelum ini, terutamanya isu lambakan kenderaan yang tidak tersusun di dalam kawasan fakulti dan kolej kediaman.
Menurut Muhammad ZulFadhli bin Zulkifli, 23, selaku Polis Bantuan UPSI memberi ketegasan dalam menyaring setiap permohonan ini sebenarnya dilakukan demi menjaga hak, keselesaan, dan keselamatan para pelajar sendiri sepanjang berada di dalam kawasan kampus.
"Langkah mengetatkan syarat permohonan sticker ini adalah satu keperluan mendesak bagi mengekang isu salah guna pelekat kenderaan yang dikesan sebelum ini. Kami mahu memastikan setiap kenderaan yang memasuki ruang kampus adalah sah dan dimiliki oleh mereka yang benar-benar layak mengikut syarat universiti.
"Apabila sistem ini diperketatkan, kita dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di dalam kampus secara drastik pada waktu puncak. Malah, tindakan ini juga dapat memastikan keselamatan harta benda warga kampus lebih terjamin kerana setiap kenderaan yang keluar masuk dapat direkodkan dengan tepat oleh pihak keselamatan," katanya ketika ditemui semalam.
Mahasiswa Sokong Langkah Pengurusan Kampus
Meskipun peraturan baharu ini kelihatan agak ketat berbanding pelaksanaan pada semester-semester sebelum ini, rata-rata mahasiswa mula memahami rasional di sebalik keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan universiti.
Seorang mahasiswa Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) UPSI, Akmal Haziq Bin Sulaiman, 22, mengakui pada mulanya dia agak terkesan dengan perubahan syarat tersebut, namun menyifatkannya sebagai satu langkah yang relevan demi kebaikan bersama.
"Kalau ikutkan peraturan dulu, masuk semester empat kami sudah boleh mohon sticker kenderaan dengan syarat yang lebih longgar. Memang mulanya rasa agak sukar bila syarat kali ini diketatkan lagi, terutamanya bab dokumen pengesahan dan nama pada geran.
"Tetapi kalau kita tengok realiti dalam kampus, lambakan kereta memang dah terlalu banyak sehingga mengganggu laluan dan ruang parkir. Lagi lagi untuk bas kitaran nak lalu. Ramai yang ambil kesempatan salah guna sticker. Saya percaya tindakan ketat yang diambil oleh pihak universiti dan polis bantuan ini adalah demi keselamatan pelajar juga supaya suasana kampus lebih terkawal dan selamat," ulas Akmal.
Sokongan Penuh Warga Kampus Diperlukan
Pihak Bahagian Keselamatan UPSI amat mengharapkan kerjasama penuh dan sikap keterbukaan daripada seluruh mahasiswa dalam mematuhi peraturan baharu ini. Pengurusan universiti sentiasa komited dalam menyediakan fasiliti terbaik, namun ia memerlukan kesedaran sivik yang tinggi daripada warga kampus untuk bersama-sama menjaga keharmonian institusi.
Para pelajar yang memenuhi kriteria yang ditetapkan diminta untuk segera mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan kepada unit berkaitan bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang sesi perkuliahan berlangsung.