JDT vs Kuching City FC: Kemudahan Tiket Percuma & 4 Bas Suntik Semangat 160 Mahasiswa UPSI ke Bukit Jalil

 




Oleh: Nazrill


TANJONG MALIM, – Pengumuman Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengenai pemberian tiket percuma kepada seluruh mahasiswa anak Johor di Malaysia sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia disambut penuh keterujaan.


Peluang keemasan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila seramai 160 orang anak jati Johor telah bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyatakan sokongan padu mereka. Bagi melancarkan pergerakan, pihak pengurusan pengangkutan turut menyediakan kemudahan logistik sebanyak empat buah bas untuk membawa kesemua mahasiswa berkenaan ke stadium.


Inisiatif murni yang diumumkan oleh kerajaan negeri Johor itu bukan sahaja meringankan beban kewangan para pelajar, malah membakar semangat patriotisme anak-anak perantauan untuk turun memberikan sokongan moral kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bertarung sengit menentang Kuching City FC.


Aksi final yang mendebarkan itu akhirnya menyaksikan JDT berjaya menjulang trofi kejuaraan Piala Malaysia selepas menundukkan Kuching City FC dengan keputusan 2-0.


Pihak perwakilan mahasiswa anak Johor UPSI meluahkan rasa syukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri atas keprihatinan yang berterusan terhadap kebajikan mahasiswa, sekali gus membolehkan mereka menyaksikan detik bersejarah tersebut secara langsung di stadium.