| Gambaran Pembelian Atas Talian Oleh: Ayu Anne Safica TANJONG MALIM – Kemudahan membeli-belah secara dalam talian telah mengubah cara masyarakat berbelanja. Namun begitu, trend pembelian impulsif atau impulsive buying semakin membimbangkan apabila ramai golongan muda mengakui sering membeli barangan yang bukan keperluan hanya kerana terpengaruh dengan promosi dan kandungan media sosial. Fenomena ini semakin ketara dengan kewujudan platform seperti Shopee dan TikTok Shop yang menawarkan pelbagai diskaun, baucar serta jualan kilat hampir setiap hari. Keadaan ini menyebabkan ramai pengguna membuat keputusan pembelian secara spontan tanpa perancangan kewangan yang jelas. Menurut seorang pelajar universiti Najihah, beliau sering membeli barangan yang sebenarnya tidak diperlukan selepas melihat video promosi di media sosial. “Kadang-kadang saya hanya membuka TikTok untuk menonton video rawak, tetapi akhirnya saya terpengaruh dengan video ulasan produk. Bila nampak ramai orang membeli dan memberi komen positif, saya terus rasa ingin memiliki barang tersebut walaupun saya tidak memerlukannya,” katanya. Beliau mengakui pernah membeli pelbagai produk seperti aksesori gajet, produk kecantikan, pakaian dan barangan hiasan yang akhirnya jarang digunakan. “Saya selalu rasa menyesal selepas barang sampai. Masa membeli memang rasa seronok, tetapi selepas itu baru sedar saya sebenarnya tidak perlukan pun barang tersebut,” tambahnya. Menurut beliau juga, promosi seperti penghantaran percuma, potongan harga dan jualan bulanan seperti 4.4 atau 5.5 sering menjadi faktor utama yang mendorongnya untuk berbelanja secara berlebihan. Pemerhatian menunjukkan bahawa ramai belia kini terdedah kepada budaya pengguna yang dipengaruhi oleh trend media sosial dan pemasaran digital. Kandungan daripada influencer serta strategi pemasaran yang agresif menjadikan pembelian impulsif semakin sukar dikawal. Walaupun pembelian secara dalam talian memberikan kemudahan kepada pengguna, amalan berbelanja tanpa kawalan boleh memberi kesan terhadap pengurusan kewangan individu. Ramai pengguna muda mula menyedari bahawa tabiat membeli berdasarkan kehendak berbanding keperluan boleh menyebabkan pembaziran wang dan menjejaskan simpanan masa depan. Sehubungan itu, golongan belia disarankan untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak serta membezakan antara keperluan dan kehendak sebelum membuat sebarang pembelian. Sikap berhemah dalam berbelanja penting bagi memastikan kestabilan kewangan dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang. Secara keseluruhannya, trend impulsive buying bukan lagi sekadar tabiat membeli-belah biasa, tetapi telah menjadi satu fenomena yang semakin mempengaruhi gaya hidup generasi muda pada masa kini. |