EKSKLUSIF: AI Ubah Landskap Media: Wartawan Perlu Bijak, Bukan Takut.


Oleh: Syazwani Shuhaili & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan 

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini memberi impak ketara terhadap dunia kewartawanan, khususnya dalam proses penghasilan berita. Penggunaan AI bukan sahaja mempercepat tugasan wartawan, malah menimbulkan perbincangan mengenai etika, kesahihan maklumat dan peranan manusia dalam era digital. Menurut pembaca berita Astro Awani, Geegee Ahmad, AI perlu dilihat sebagai alat sokongan, bukan pengganti wartawan. 

“Pada awalnya, memang ada kebimbangan bahawa AI akan menggantikan pekerjaan kami. Namun, hakikatnya, AI memudahkan tugasan jika digunakan dengan betul. Di bilik berita Astro Awani, AI digunakan sepenuhnya untuk membantu melancarkan kerja kewartawanan,” jelas Geegee. 

Beliau menyatakan bahawa penggunaan AI membantu wartawan dari pelbagai sudut, termasuk penulisan, penyuntingan, transkripsi audio, pembacaan berita dan penghasilan kandungan tambahan seperti lagu berasaskan AI. Platform AI yang digunakan termasuk Copilot, ChatGPT dan Perplexity. Menurutnya, AI banyak menjimatkan masa, terutama apabila wartawan menerima fakta berbentuk poin daripada pihak berkuasa. AI boleh membantu membentuk ayat berita dengan cepat, namun penyemakan manusia tetap perlu sebelum disiarkan. 

Geegee menekankan bahawa golongan paling terkesan dengan AI ialah pembaca dan penonton, kerana mereka lebih mudah terdedah kepada maklumat yang mungkin tidak sahih. Oleh itu, literasi media dan sikap berhati-hati amat penting bagi mengelakkan penyebaran berita palsu. “Sebagai penerima berita, kita tidak boleh percaya bulat-bulat apa yang kita lihat, terutama di media sosial. Berita palsu kini boleh dicipta dengan mudah menggunakan AI,” katanya. 

Walaupun AI menjadi alat bantu penting, Astro Awani masih mengekalkan sistem “gatekeeper” melalui editor. Setiap berita yang dihasilkan, sama ada dengan bantuan AI atau tidak, perlu disemak fakta, bahasa dan kesahihannya sebelum disiarkan. Menurut Geegee, proses ini memastikan kredibiliti media tetap terpelihara walaupun teknologi digunakan secara meluas. 

Penggunaan AI secara serius di Astro Awani bermula pada penghujung 2023, dengan aplikasi lebih menyeluruh pada tahun 2024. Kini, wartawan dilatih untuk memanfaatkan AI sepenuhnya, dari penghasilan berita hingga pembacaan dan penyuntingan. Penggunaan teknologi ini membolehkan wartawan memahami isu kompleks dengan lebih cepat, termasuk peristiwa antarabangsa seperti dasar luar negara dan pertikaian perdagangan antara kuasa besar. 

Geegee menegaskan bahawa AI bukan pengganti manusia, tetapi memerlukan kawalan dan input manusia agar hasilnya tepat dan relevan. “AI hanya pembantu. Yang membentuk hasilnya adalah manusia. Tanpa input yang tepat, AI tidak akan menghasilkan penulisan yang kita perlukan,” ujarnya. Beliau juga menekankan kepentingan human touch dalam kewartawanan, kerana AI tidak mampu meniru kreativiti, intuisi dan elemen kemanusiaan wartawan.

Bagi pelajar dan bakal wartawan, Geegee memberi nasihat supaya tidak bergantung sepenuhnya pada AI. Sebaliknya, AI harus digunakan untuk memperkemaskan idea dan tugasan, manakala pemikiran dan pendapat manusia tetap menjadi tunjang utama. “Kalau kita hanya suruh AI generate idea, hasilnya akan terasa kaku. AI sepatutnya membantu mengukuhkan idea kita, bukan menggantikannya,” jelasnya. 

Kesimpulannya, penggunaan AI dalam kewartawanan membuka ruang kepada inovasi, kecekapan dan penghasilan berita lebih pantas, namun memerlukan kebijaksanaan dan etika. Gabungan teknologi dan nilai kemanusiaan adalah kunci bagi memastikan kredibiliti media terpelihara dalam era digital, serta membolehkan wartawan kekal relevan dan berinovasi tanpa kehilangan peranan mereka sebagai penghubung fakta kepada masyarakat.