Menelusuri Sejarah Rumah Pengetua SITC: Dari Kediaman O.T. Dussek ke Rumah Tamu Universiti

Sumber: Institut Peradaban Melayu, UPSI

Oleh: Daniel Nurhakim & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja sebuah gedung ilmu, malah menyimpan khazanah sejarah yang tidak ternilai melalui Bangunan Rumah Pengetua SITC. Bangunan yang kini lebih dikenali sebagai Rumah Tamu ini merupakan saksi bisu kepada pelbagai peristiwa penting negara sejak era kolonial sehingga kini.
Terletak di bahagian paling selatan berhampiran Sungai Bernam, bangunan dua tingkat yang unik ini menampilkan gabungan struktur batu-bata di bahagian bawah dan kayu di bahagian atas. Mengikut catatan sejarah, rumah ini asalnya dibina sebagai kediaman rasmi O.T. Dussek, individu berbangsa Inggeris pertama yang memegang jawatan sebagai Pengetua Sultan Idris Training College (SITC).
Kepentingan bangunan ini memuncak semasa Perang Dunia Kedua apabila ia dijadikan Hospital Tentera British. Namun, selepas pengunduran British, fungsinya berubah menjadi Markas dan Hospital Tentera Jepun. Pasca perang menyaksikan rumah ini dipercayai terbiar tanpa penghuni dalam tempoh yang sangat lama sehingga tahun 2002.
Sinar baharu buat bangunan bersejarah ini muncul pada tahun 2002 apabila ia diubah suai dan dicat semula buat kali pertama. Ia kemudiannya berfungsi sebagai kediaman sementara buat Naib Canselor UPSI yang ketiga, Tan Sri Dr. Muhammad Rais bin Abdul Karim, serta pernah didiami oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Aminah binti Ayob, Naib Canselor keempat, dari tahun 2008 hingga 2011.
Kini, Rumah Tamu ini terus berbakti kepada warga universiti dengan fungsi yang lebih pelbagai. Selain menjadi rumah tetamu rasmi, ia turut dijadikan lokasi utama bagi penganjuran aktiviti sosial kakitangan seperti majlis tahlil, mesyuarat, serta perjumpaan alumni. Pemuliharaan bangunan ini membuktikan komitmen universiti dalam mengekalkan warisan sejarah agar terus dihargai oleh generasi akan datang.