Sumber: BuletinTV3
Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Penggunaan perkhidmatan e-hailing seperti prebet sapu dalam kalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilihat semakin meningkat, selari dengan gaya hidup moden dan keperluan mobiliti pantas di kalangan mahasiswa. Namun, peningkatan penggunaan perkhidmatan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan apabila berurusan dengan pemandu yang tidak berdaftar atau tidak melalui saluran rasmi.
Menurut tinjauan ringkas di sekitar kampus, ramai pelajar UPSI memilih perkhidmatan e-hailing kerana ia memudahkan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satuu tempat dengan cepat. Perkhidmatan ini membolehkan pelajar menjimatkan masa berbanding menunggu bas, terutamanya ketika minggu perkuliahan yang sibuk.
Menurut Sarjan Mohammad Rizeal, isu keselamatan yang timbul berkait rapat dengan faktor cas yang dikenakan. Beliau menjelaskan bahawa sekiranya pelajar menggunakan perkhidmatan e-hailing rasmi, kos perjalanan biasanya lebih tinggi berbanding perkhidmatan tidak rasmi seperti prebet sapu. Hal ini mendorong sesetengah pelajar memilih perkhidmatan alternatif yang lebih murah, walaupun berisiko dari segi keselamatan.
Beliau turut menasihatkan pelajar wanita agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan ini. Sebagai langkah keselamatan, pelajar digalakkan untuk tidak menaiki prebet sapu bersendirian, sebaliknya memastikan teman atau rakan menemani sepanjang perjalanan.
Secara keseluruhannya, walaupun perkhidmatan e-hailing tidak rasmi seperti prebet sapu menawarkan kemudahan dan kos yang lebih rendah, tetapi aspek keselamatan tetap menjadi isu utama bagi pelajar. Pelajar digalakkan untuk membuat pilihan yang bijak, mengutamakan perkhidmatan rasmi apabila boleh, dan sentiasa berhati-hati, terutama pelajar wanita, dengan memastikan perjalanan disertai rakan atau teman bagi mengurangkan risiko yang tidak diingini.