Pameran Lestari Warisan 2.0 Memukau di FBK UPSI

oleh: Clarissa John & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan 

Tanjung Malim, Perak, 14 Januari 2026 – Pameran Lestari Warisan 2.0, sebuah persembahan kreatif yang mengetengahkan keindahan, keunikan dan nilai warisan tradisional secara berwarna dan berinformasi, berjaya diadakan hari ini di Atrium Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dijalankan pada 14 Januari 2026 dari 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari sebagai tugasan etnografi visual bagi kursus BKC3023 Komunikasi Interkultural, pameran ini melibatkan pelajar Semester 1 yang menghidupkan semula adat resam Melayu, Cina, India dan etnik lain melalui instalasi dan multimedia yang menarik. Ia bukan sahaja mempamerkan kekayaan budaya pelbagai kaum di Malaysia, tetapi juga menggalakkan kesedaran lestari terhadap warisan yang semakin pudar di era moden. Pengunjung, termasuk pelajar dan pensyarah, teruja dengan cara kreatif pelajar menyatukan cerita tradisi dengan elemen visual kontemporari.

Antara aktiviti yang diterima banyak sambutan oleh para pengunjung adalah bengkel batik yang diadakan secara interaktif, di mana peserta boleh mencuba membuat corakan batik  sendiri sambil mendengar cerita lisan tentang asal-usul corak warisan Melayu.
Tan Kai Xuan, pelajar tahun tiga dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial), berkongsi pengalamannya sebagai pengunjung pameran. "Pameran ini membuka mata saya tentang kekayaan warisan kampung halaman" kata Tan Kai Xuan.

Ia juga mengongsi sedikit pengalaman menjalani tugasan ini semasa Semester 1: "Pada masa Semester 1 dulu, kami tidak mempunyai peluang untuk mengadakan pameran seperti acara ini walaupun kami juga menjalani tugasan yang sama. "Kedatangan di sini dan melihat hasil kerja junior saya membuatkan saya berasa bangga dengan perkembangan mereka, " kata Tan Kai Xuan.

Acara ini menyaksikan lebih 100 pengunjung, membuktikan minat kuat terhadap usaha pelestarian warisan.