Pameran Lestari Warisan 2.0 Semai Kesedaran Budaya Dalam Kalangan Pelajar

Gambar oleh : Nurul Asyiqin binti Samsul Kamal

Oleh : Nurul Asyiqin binti Samsul Kamal dan Dr, Ahamad Sauffiyan bin Abu Hasan

14 Januari 2026 (Rabu) – Sebuah pameran kebudayaan berjaya dianjurkan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) bermula jam 10 pagi hasil gabungan usaha pelajar kursus AB14 dan AB15. Pameran yang diberi nama Pameran Lestari Warisan 2.0 ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif terdahulu, Pameran Lestari Warisan 1.0, yang pernah dianjurkan oleh pelajar sebelum ini. Program ini dilaksanakan di bawah bimbingan pensyarah, Dr. Loy Yoke Ling, yang sentiasa memberi sokongan dan panduan sepanjang proses penganjuran.

Objektif utama pameran ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan mengenali serta mengekalkan kelestarian budaya tempatan agar tidak ditelan arus pemodenan. Penganjur berharap pameran ini dapat membuka mata generasi muda terhadap nilai seni dan warisan tradisional yang semakin kurang mendapat perhatian dalam kehidupan moden masa kini.

Menurut salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pameran Lestari Warisan 2.0, Hazim Ikram Mohd. Jefri, pameran ini mengetengahkan pelbagai hasil seni tradisional dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Johor, Perak dan Selangor. Antara hasil seni yang dipamerkan termasuklah kraftangan dan permainan tradisional yang mencerminkan keunikan identiti budaya masyarakat setempat. Hazim sendiri berkata dia memilih untuk mempamerkan tentang Tanglung, ini kerana tidak banyak perkara yang didokumentasikan mengenai tanglung dah tindakan ini bertujuan untuk memastikan tanglung tidak akan pudar ditelan zaman.

Pameran ini berjaya menampilkan sebanyak 30 set pameran yang merangkumi lebih daripada 62 hasil seni tradisional. Antara yang menarik perhatian pengunjung ialah pameran mengenai seni tanglung serta labu sayong yang bukan sahaja dipamerkan secara fizikal, malah didokumentasikan dengan penerangan terperinci. Secara keseluruhannya, Pameran Lestari Warisan 2.0 telah berjaya dianjurkan dengan baik dan mencapai objektif yang ditetapkan. Pameran ini berupaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan memelihara dan menghargai warisan budaya tempatan. Kandungan pameran yang dipersembahkan adalah menarik, tersusun serta informatif, sekali gus memudahkan pengunjung memahami latar belakang dan nilai setiap hasil seni tradisional yang dipamerkan.

Selain itu, penyampaian maklumat oleh ahli jawatankuasa pameran adalah jelas dan berkesan. Penerangan yang diberikan menunjukkan tahap penguasaan ilmu yang baik serta persediaan rapi daripada pihak penganjur. Kerjasama antara pelajar AB14 dan AB15 juga dapat dilihat melalui kelancaran perjalanan pameran walaupun berdepan dengan kekangan masa dan jarak.

Para penganjur turut menyatakan hasrat untuk terus melibatkan diri dalam program seumpama ini pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam memelihara dan memartabatkan seni serta budaya tempatan.