Antara peserta yang menghadiri Sambutan 100 tahun Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS). - Sumber Berita HarianOleh Latifah Arifin
KUALA LUMPUR: Sambutan 100 tahun Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) yang berlangsung hari ini menjadi platform bagi pertubuhan itu mengukuhkan komitmen berterusan terhadap kepimpinan, kepelbagaian dan semangat kemasyarakatan.
Selari dengan itu, pelbagai pengisian dan aktiviti disusun pada acara 'KLGG Teddy Bear Party 2026' dengan satu mesej jelas iaitu mengangkat nilai persahabatan, perpaduan dan persaudaraan global.
Tahun ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLGG) menjadi tuan rumah bagi sambutan itu dengan penyertaan 2,000 ahli Pandu Puteri di sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Berucap pada acara itu, Yang Dipertua KLGG, Datuk Yeoh Soo Keng, berkata sambutan 100 tahun WAGGS menjadi cerminan bahawa ikatan sedia ada perlu diperkukuh bukan sahaja dalam kalangan ahli Pandu Puteri tetapi pada peringkat komuniti.
"Pada hari ini, ketika kita merenung 100 tahun tradisi ini, kita diingatkan bahawa tiada seorang pun daripada kita berdiri bersendirian.
"Setiap unggun api yang dikongsi, setiap lencana yang diperoleh dan setiap cabaran yang dihadapi bersama menguatkan ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah pergerakan.
"Persahabatan membentuk siapa diri kita dan memberikan kekuatan untuk mencipta perubahan dalam komuniti dan seterusnya," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) menekankan pengajaran penting dalam persahabatan yang melangkaui sekadar kebaikan kepada solidariti sejagat selain kepercayaan dan keberanian untuk berdiri bersama sebagai satu gerakan tanpa dipisahkan jarak atau faktor geografi.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Muhamad Tarmizi Muhammad Nor dan Naib Yang Dipertua KLGG, Datin Rohani Hanoum Omar Hamzah.
Acara meriah dengan pelbagai aktiviti antaranya kuiz Hari Peringatan Sedunia, Pertandingan Ikatan Persahabatan dan Pertandingan Lagu Tindakan dan sorakan KLGG.
Kemuncak majlis itu menyaksikan pembaharuan ikrar Pandu Puteri yang dipimpin oleh Pandu Puteri Raja 2025, Kashwini Eswaran Dinesh yang melambangkan perpaduan merentasi generasi dan budaya.