Pelajar AB-14 Komunikasi (Komunikasi Sosial) Lakukan Persediaan Intensif Menjelang Latihan Industri



Oleh Corina Stephen dan Dr. Sauffiyan Bin Abu Hasan 

TANJONG MALIM – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) Kohort  AB 14 kini berada dalam fasa persediaan aktif sebelum melangkah ke alam latihan industri,  yang bakal menjadi pengalaman penting dalam perjalanan akademik dan profesional mereka. 

Sebagai persediaan awal, pelajar telah menerima taklimat dan garis panduan daripada  pensyarah yang mengendalikan latihan industri bagi membantu mereka memahami prosedur,  keperluan dokumen serta etika sepanjang tempoh penempatan. 

Seiring dengan perkembangan teknologi, pelajar turut memanfaatkan pelbagai platform digital  seperti Indeed Jobs, Glassdoor, LinkedIn, Threads dan beberapa aplikasi lain sebagai medium  utama untuk mencari peluang latihan industri yang bersesuaian dengan bidang pengajian  mereka. 

Usaha berterusan ini membuahkan hasil apabila ramai pelajar dilaporkan telah dipanggil  menghadiri sesi temu duga, malah tidak kurang juga yang telah berjaya memperoleh tawaran  tempat latihan industri di pelbagai organisasi berkaitan komunikasi dan media.

Menurut salah seorang pelajar, proses pencarian penempatan ini memberi pendedahan awal  tentang realiti dunia pekerjaan, sekali gus melatih mereka untuk lebih berdaya saing dan  bersedia menghadapi cabaran industri sebenar. 

“Pengalaman menghadiri temu duga dan berurusan dengan pihak industri membantu kami  meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi,” katanya. 

Secara keseluruhan, persediaan rapi yang dilakukan oleh pelajar ini mencerminkan komitmen  mereka untuk memanfaatkan latihan industri sebagai platform pembelajaran praktikal dan  langkah awal membina kerjaya dalam bidang komunikasi.