proses penghasilan kompos yang dijalankan oleh Nur Anis Izzati dalam usaha menyokong kelestarian alam sekitar.
Oleh : Nurshafiqah Ashikin Binti Judding
Walaupun berlatarbelakangkan bidang komunikasi, seorang pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) dengan Kepujian kini aktif dalam bidang pertanian, khususnya penghasilan kompos, sebagai usaha memelihara kelestarian alam. Aktiviti ini bukan sahaja membolehkan beliau mempraktikkan pengetahuan tentang kelestarian, malah memberi pengalaman praktikal yang jarang dimiliki oleh pelajar lain dalam bidang komunikasi.
Menurut beliau, minat dalam bidang pertanian bukan sesuatu yang baharu kerana telah terdedah dengan aktiviti bertani sejak di bangku sekolah. Beliau juga berkata ibu bapa beliau sering menjalankan pertanian secara kecil-kecilan, yang mana pengalaman itu telah membentuk minatnya sejak kecil. “Walaupun kadang-kadang penat, kerja bertani sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Saya rasa seronok dapat melihat tanaman tumbuh dan hasilnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.
Selain itu, penglibatan beliau dalam penghasilan kompos muncul daripada kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Kompos yang dihasilkan memanfaatkan sisa-sisa makanan dan bahan domestik yang biasanya dibuang, lalu ditukar menjadi baja semula jadi yang bermanfaat untuk tanah dan tanaman. “Kompos mempunyai elemen yang sangat baik untuk alam sekitar kerana ia membantu mengurangkan sisa buangan dan pada masa yang sama menyuburkan tanah. Ia juga satu cara yang mudah tetapi praktikal untuk semua orang menyumbang kepada kelestarian alam,” jelas Nur Anis Izzati Binti Hairuddin.
Beliau menambah bahawa walaupun bidang pengajiannya adalah komunikasi, minatnya dalam pertanian membuktikan bahawa seseorang tidak terikat kepada satu bidang sahaja. Aktiviti luar bidang pengajian boleh memberikan pengalaman berharga, melatih kemahiran praktikal, dan meningkatkan kesedaran tentang isu sosial serta alam sekitar. “Saya percaya setiap orang boleh menyumbang kepada kelestarian alam, tidak kira apa kursus yang diambil. Aktiviti seperti ini juga mengajar kita disiplin, kesabaran dan nilai kerja keras,” tambahnya.
Usaha Nur Anis Izzati ini dilihat selari dengan agenda kelestarian dan memberi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk lebih aktif dalam aktiviti yang memberi impak positif terhadap alam sekitar. Ia juga membuktikan bahawa pelajar universiti mampu memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran tentang kelestarian secara praktikal dan nyata, sambil membina kemahiran yang berguna untuk masa depan.