Masturina binti Azhar
TANJUNG MALIM – Isu sambungan internet yang terganggu sering menjadi cabaran kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terutama ketika waktu puncak penggunaan dan ketika hujan. Situasi ini paling ketara dialami oleh pelajar yang menetap di kolej kediaman, terutamanya di kampus baru. Dalam memahami lebih mendalam isu ini , seorang pelajar di temubual pada 17 Disember 2025.
Seorang pelajar UPSI yang ingin dikenali sebagai Jason berkongsi bahawa masalah internet biasanya berlaku apabila terlalu ramai pengguna mengakses rangkaian pada satu masa. Keadaan ini menyebabkan kelajuan internet menjadi perlahan dan sambungan menjadi tidak stabil.
“Internet sering bermasalah ketika waktu puncak kerana ramai pelajar menggunakan rangkaian serentak. Saya juga perhatikan masalah ini lebih ketara ketika hujan,” katanya.
Jason menjelaskan bahawa masalah ini bukan sahaja berlaku di satu lokasi sahaja, tetapi melibatkan kedua-dua kampus UPSI. Namun, beliau menekankan bahawa fokus perlu diberikan kepada kolej kediaman di kampus baru, kerana pelajar di sini lebih bergantung kepada internet untuk tugasan, pembelajaran dalam talian, dan komunikasi harian.
Dalam pandangan Jason, masalah internet boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, dan tidak sepenuhnya kesalahan pihak universiti. Antara faktor yang menyumbang adalah perubahan cuaca, khususnya hujan, yang boleh menjejaskan kestabilan rangkaian.
“Masalah ini mungkin berpunca daripada pelbagai faktor. Cuaca juga memainkan peranan penting dalam kestabilan internet. Jadi, saya percaya ia bukanlah isu yang sepenuhnya berpunca daripada pihak UPSI,” jelasnya.
Jason berharap pihak berkaitan dapat mengenal pasti punca utama masalah internet ini dan mengambil tindakan segera bagi memperbaiki keadaan. Beliau turut menekankan bahawa penyelesaian ini penting demi memastikan pelajar dapat menjalani proses pembelajaran dengan lebih lancar dan efektif pada masa akan datang.
“Harapan saya, pihak yang bertanggungjawab dapat mencari punca sebenar dan memperbaiki masalah ini demi kepentingan pelajar. Internet yang stabil akan membantu pelajar menyelesaikan tugasan dan mengikuti pembelajaran tanpa gangguan,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, walaupun terdapat cabaran dalam kestabilan internet, Jason yakin isu ini dapat diselesaikan dengan kerjasama pihak universiti dan pemantauan yang lebih rapi. Beliau optimis bahawa peningkatan kualiti internet akan memberi impak positif kepada pengalaman pembelajaran pelajar UPSI di masa hadapan.