Oleh: Andreas Anak Gabrieal | Dr Ahmad Sauffiyan Hasan |
Serdang, 30 April 2025 — Persatuan Komunikasi Sosial (PERKOM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Lawatan Komunikasi Perkongsian & Aspirasi (KOM-PASS) dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FALCOMM), Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.
Program ini merupakan anjuran Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa PERKOM UPSI, dengan Andreas Anak Gabrieal selaku Pengarah Program. Lawatan rasmi ini melibatkan delegasi PERKOM UPSI yang berkunjung ke UPM bagi tujuan delegasi, pertukaran ilmu serta mendapatkan pendedahan berkaitan struktur organisasi dan pengurusan persatuan di bawah FALCOMM.
Sepanjang program berlangsung, wakil FALCOMM UPM telah berkongsi secara terperinci mengenai struktur organisasi, peranan jawatankuasa, serta amalan pengurusan yang dilaksanakan. Perkongsian ini memberi manfaat besar kepada delegasi PERKOM UPSI dalam memahami pendekatan pengurusan organisasi yang lebih sistematik dan profesional, khususnya dalam konteks kepimpinan pelajar bidang komunikasi.
Selain itu, sesi perbincangan dua hala turut dijalankan secara interaktif, membolehkan kedua-dua pihak bertukar pandangan, idea serta aspirasi berkaitan pembangunan mahasiswa dan pengurusan program. Interaksi ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan strategik serta memperluaskan jaringan akademik antara UPSI dan UPM.
Secara keseluruhan, Program Kom-PASS PERKOM UPSI X FALCOMM UPM berjaya mencapai objektifnya sebagai platform perkongsian ilmu dan pengukuhan hubungan antara organisasi pelajar. Diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan melalui penganjuran program bersama yang lebih berimpak, sekaligus menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing.