Sumber: Mohamad Fakhrullah
Disediakan oleh : Mohamad Fakhrullah dan Dr Ahmad Sauffiyan Hasan
TANJONG MALIM – Pada sesi Temu Anwar yang lalu bersama kira-kira 5,000 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor, bersempena Perasmian Anugerah Buku Negara 2023 di UPSI, Perdana Menteri Malaysia telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membina 18 blok tambahan kolej kediaman pelajar di UPSI, Tanjung Malim.
Kelulusan peruntukan ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam usaha menangani keperluan penginapan pelajar yang semakin meningkat sejajar dengan pertambahan jumlah kemasukan mahasiswa setiap tahun. Inisiatif ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada pelajar, malah memperkukuh kemudahan asas kampus bagi menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Kini, projek pembinaan kolej kediaman baharu tersebut masih berada dalam proses pelaksanaan dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Progres pembinaan yang agak pantas telah menimbulkan rasa teruja dalam kalangan pelajar, khususnya mereka yang menantikan kemudahan penginapan yang lebih selesa, selamat dan sistematik pada masa hadapan.
Menurut perancangan semasa, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027. Kompleks kolej kediaman yang sedang dibina ini akan merangkumi apartmen pelajar setinggi lima tingkat, dewan serbaguna, surau, pencawang elektrik serta pejabat pentadbiran, sekali gus menyediakan kemudahan yang menyeluruh untuk keperluan harian pelajar.
Pembinaan kolej kediaman ini turut mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan UPSI dalam menitikberatkan aspek kebajikan dan keselesaan pelajar. Penyediaan kemudahan penginapan yang berkualiti diyakini mampu membantu pelajar menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian tanpa dibebani isu penginapan.
Secara keseluruhan, projek pembinaan kolej kediaman baharu ini bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan kerajaan dan pihak universiti terhadap keperluan mahasiswa, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang lebih baik di bumi Mualim. Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada warga UPSI pada masa kini dan akan datang.