RENCANA: Di Sebalik Tabir Kolaborasi: Realiti dan Pembelajaran dalam Kempen Bijak Digital


Oleh Nurqaisara Afrina Mahadzir & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

Kempen Bijak Digital merupakan satu inisiatif komunikasi strategik yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan media digital secara beretika, selamat dan bertanggungjawab. Sepanjang penglibatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerjasama dan Kolaborasi, pengalaman yang diperoleh bukan sahaja memperkukuh kemahiran profesional, malah membentuk kefahaman mendalam tentang peranan kolaborasi dalam kejayaan sesebuah kempen komunikasi.

Sebagai AJK Kerjasama dan Kolaborasi, tanggungjawab utama adalah merancang, menyelaras dan melaksanakan hubungan strategik dengan rakan kolaborasi yang berpotensi, termasuk organisasi, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan yang relevan. Pemilihan rakan kolaborasi dilakukan secara teliti berdasarkan kesesuaian audiens sasaran, keselarasan nilai serta reputasi organisasi agar mesej Kempen Bijak Digital dapat disampaikan secara berkesan dan berimpak tinggi.

Pengalaman ini mendedahkan realiti sebenar dunia komunikasi profesional, khususnya dalam aspek rundingan dan pengurusan hubungan. Proses menghubungi pihak luar memerlukan kemahiran komunikasi formal, penulisan surat dan emel yang beretika, serta keupayaan meyakinkan pihak kolaborasi tentang manfaat bersama atau konsep win-win situation. Setiap interaksi menuntut tahap kesabaran yang tinggi, perancangan yang sistematik dan keupayaan menyesuaikan pendekatan komunikasi mengikut latar belakang organisasi yang berbeza.

Selain itu, cabaran utama yang dihadapi adalah pengurusan masa dan perbezaan jangkaan antara perancangan awal dengan hasil sebenar. Terdapat rakan kolaborasi yang memerlukan masa panjang untuk memberikan maklum balas, manakala sebahagian perancangan perlu diubah suai mengikut kekangan semasa. Namun, situasi ini secara tidak langsung melatih AJK untuk lebih fleksibel, proaktif dan berfikir secara kritis dalam menyelesaikan masalah.

Dari sudut pencapaian, kejayaan menjalin beberapa kerjasama strategik membuktikan bahawa perancangan yang rapi serta komunikasi yang jelas mampu menghasilkan impak positif terhadap kempen. Kolaborasi yang terjalin bukan sahaja membantu memperluas capaian audiens, malah mengukuhkan kredibiliti Kempen Bijak Digital di mata masyarakat.

Secara keseluruhan, pengalaman sebagai AJK Kerjasama dan Kolaborasi dalam Kempen Bijak Digital merupakan satu proses pembelajaran yang signifikan. Ia membentuk kecekapan komunikasi, meningkatkan keyakinan diri dan menyediakan asas kukuh untuk menghadapi cabaran sebagai pengamal komunikasi profesional pada masa hadapan.