Nurshafiqah Ashikin seorang pelajar Borneo yang menuntut di UPSI
Oleh: Nurul Aina Najwa Binti Ahmad & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
“Sebagai pelajar Borneo yang merantau ke Semenanjung, cabaran terbesar yang saya hadapi ialah perbezaan budaya dan gaya hidup,” kata Nurshafiqah Ashikin binti Judding, pelajar tahun akhir kursus AB14 Komunikasi (Komunikasi Sosial) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Menurutnya, kejutan budaya sering berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan seharian termasuk cara pertuturan, adat resam, makanan serta cara pergaulan. Perbezaan loghat yang ketara turut menjadi antara faktor yang menyebabkan sebahagian pelajar Borneo berasa terpinggir, khususnya pada peringkat awal pengajian apabila masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Bagaimanapun, Nurshafiqah menjelaskan bahawa cabaran tersebut berjaya diatasi melalui usaha untuk membuka diri dan membina hubungan baik dengan pelajar dari Semenanjung. Menurutnya, sikap saling menghormati dan keinginan untuk memahami budaya setempat membantu merapatkan jurang perbezaan yang wujud. “Saya percaya bahawa dengan berkawan dan memahami budaya setempat, proses penyesuaian diri menjadi lebih mudah dan menyeronokkan,” tambahnya. Beliau turut menyatakan bahawa komunikasi yang baik serta sikap terbuka memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni antara pelajar daripada latar belakang yang berbeza.
Selain berkongsi pengalaman peribadi, Nurshafiqah turut menyampaikan kata-kata semangat kepada pelajar Borneo yang lain agar terus tabah dan berusaha walaupun berjauhan daripada keluarga tercinta. “Kamu semua harus semangat kerana kita membawa nama keluarga jauh ke sini. Apapun yang terjadi, kita kena bangkit dan terus berjuang,” ujar Shafiqah. Menurutnya, pengalaman merantau untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja mengajar pelajar tentang ketabahan, kesabaran dan berdikari, malah membentuk jati diri yang lebih matang. Tambahan pula, pengalaman ini juga membuka peluang untuk pelajar menghargai kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia serta membina jaringan persahabatan yang luas sepanjang tempoh pengajian di universiti.