Pembelajaran yang bermanfaat ini terukir pada tahun 2023 hingga kini, dimana subjek Pengucapan Awam, Pengurusan Media, Komunikasi Korporat, Penceritaan Visual dan Pelaporan berita telah berjaya menjadikan saya sebagai seorang penceramah dan affiliate yang berpendapatan sehingga hari ini. Dalam dunia industri yang menitikberatkan kemahiran dan pengalaman, pembelajaran secara hands-on kini menjadi keperluan, bukan sekadar pilihan. Penekanan terhadap subjek berasaskan praktikal dalam pengajian tinggi terbukti memberi banyak manfaat, khususnya kepada pelajar bidang komunikasi. Pelajar komunikasi sering didedahkan kepada latihan praktikal seperti penggunaan kamera, penyuntingan video, teknik pencahayaan dan penghasilan kandungan. Selain itu, pengucapan awam dan teknik penulisan berita yang betul juga dipraktikan sewaktu prosess pembelajaran dijalankan. Pendedahan ini membantu pelajar mengaplikasikan teori komunikasi ke dalam situasi sebenar, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna dan relevan dengan keperluan industri. Penguasaan kemahiran praktikal sejak di bangku universiti membolehkan pelajar lebih bersedia menceburi bidang seperti pemasaran, kewartawanan, pengiklanan dan produksi media. Graduan yang mempunyai pengalaman praktikal juga memiliki kelebihan daya saing kerana mampu menyumbang secara langsung di tempat kerja tanpa bergantung sepenuhnya kepada pengetahuan teori. Namun, pembelajaran praktikal perlu diseimbangkan dengan asas teori yang kukuh agar pelajar memahami tujuan, mesej dan impak sesuatu penghasilan media. Gabungan teori dan praktikal mampu melahirkan graduan yang berkemahiran, kritikal dan berdaya saing. Kesimpulannya, subjek yang menekankan pembelajaran praktikal wajar terus diperkasakan dalam bidang komunikasi. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran sebenar dunia industri. Shafiqah Adriana Binti Kamaruzzaman pelajar tahun akhir Komunikasi Sosial UPSI dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan pensyarah UPSI.
