Sikap “Last Minute” Adalah Budaya Yang Perlu Dibuang Dalam Kalangan Pelajar Universiti

Pelajar UPSI yang bermalam di Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI.

 / Sumber: Nur’ Fatima



Ditulis oleh: Nur’ Fatima Abdul Samat & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan 


TANJUNG MALIM – Perpustakaan Tunku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali lagi dipenuhi dengan para mahasiswa UPSI yang sedang menyiapkan tugasan akhir mereka pada minggu lalu. Mahasiswa dan sikap menyiapkan tugasan pada saat akhir bukan satu perkara yang asing lagi pada hari ini. Perpustakaan yang tidak lekang dengan pelajar itu adalah disebabkan oleh sikap “last minute” yang terus menjadi darah daging dalam kalangan mahasiswa. 


Tinjauan telah dilakukan di sekitar perpustakaan tersebut dan didapati hampir kesemua pelajar disitu mengakui bahawa tekanan tarikh akhir menghantar tugasan menjadi punca utama mereka untuk menyelesaikan tugasan dengan cepat. 


Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan menyifatkan tabiat ini sebagai satu “keperluan yang tidak disengajakan”.


“Bukannya tidak mahu buat awal, tetapi kadang-kadang lambakan tugasan daripada pelbagai kursus bertumpu pada minggu yang sama. Akhirnya, kami terpaksa memilih untuk menyiapkan mengikut tarikh yang paling hampir, yang akhirnya membawa kepada kerja saat akhir,” katanya ketika ditemui semalam.


Namun, disebalik keperluan untuk menyiapkan tugasan dalam 24 jam itu, ia pasti akan menjejaskan kualiti kerja yang dihasilkan.


Dalam pada itu, para pelajar juga perlu mengambil kira aspek kesihatan kerana ia pastinya akan memberi kesan yang panjang kepada mental dan fizikal pelajar. Tabiat yang suka berjaga malam secara terus menerus dan pengambilan kafein yang berlebihan boleh mengganggu kitaran tidur serta meningkatkan risiko keresahan. 


Walau bagaimanapun, pelajar wajib untuk meningkatkan lagi pengurusan masa mereka secara efektif sebagai cara mengatasi masalah ini. Kesedaran kendiri daripada pelajar adalah penting dan sangat diperlukan untuk tidak menjadikan fenomena ini sebagai ‘norma’ mahasiswa. 


Fenomena ‘last minute’ mungkin memberikan kepuasan sementara apabila tugasan berjaya dihantar tepat pada waktunya, namun harganya mungkin lebih mahal daripada sekadar sekeping ijazah.