Swag Fashion Runway 2025: Inisiatif Fesyen Melalui Penggunaan Pakaian Terpakai
Cik Fionaniza bersama dengan peserta dan pengunjung. Gambar oleh: Maxy Fushion
Oleh: Nurul Syamirah Zamrey & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM, 15 Disember 2025 – Swag Fashion Runway 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu inisiatif kreatif yang mengangkat konsep fesyen lestari melalui penggunaan pakaian terpakai. Program ini dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Sosial sebagai sebahagian daripada usaha akademik dan kempen kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat.
Penganjuran Swag Fashion Runway 2025 bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kepentingan amalan guna semula pakaian terpakai serta mengubah persepsi negatif terhadap barangan terpakai yang sering dianggap tidak bernilai. Melalui sentuhan kreativiti dan rekaan yang inovatif, pakaian terpakai berjaya ditransformasikan menjadi busana yang menarik, bergaya dan sesuai digayakan di pentas peragaan.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu jemputan istimewa, Queen of Borneo Nation 2025/2026, Cik Fionaniza Anak Nome, yang juga merupakan mahasiswa Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), UPSI. Kehadiran beliau bukan sahaja menambah seri majlis, malah menjadi simbol sokongan terhadap usaha mempromosikan fesyen lestari dalam kalangan generasi muda. Cik Fionaniza turut meluangkan masa menyaksikan persembahan peragaan fesyen serta berinteraksi dengan para peserta.
Sepanjang program berlangsung, para penonton disajikan dengan pelbagai koleksi busana yang dihasilkan sepenuhnya daripada pakaian terpakai seperti baju lama, fabrik lebihan. Setiap rekaan membawa mesej tersendiri berkaitan penjagaan alam sekitar, pengurangan sisa tekstil serta kepentingan gaya hidup lestari. Penganjur juga menekankan bahawa industri fesyen merupakan antara penyumbang utama kepada pencemaran alam, justeru pendekatan fesyen lestari wajar dipraktikkan secara meluas.
Selain peragaan fesyen, program ini turut menjadi platform pembelajaran kepada pelajar dalam aspek pengurusan acara, komunikasi massa dan kerjasama berpasukan. Segala perancangan, pelaksanaan dan promosi program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Sosial, sekali gus memberi pengalaman praktikal yang bernilai sebelum mereka menamatkan pengajian.
Swag Fashion Runway 2025 juga berjaya menarik minat pelajar daripada pelbagai fakulti serta pengunjung luar untuk hadir dan menyokong program ini. Sambutan yang diterima membuktikan bahawa kesedaran terhadap isu kelestarian alam semakin meningkat dan boleh disampaikan melalui medium kreatif seperti fesyen dan seni persembahan.
Secara keseluruhannya, Swag Fashion Runway 2025 bukan sekadar sebuah acara peragaan fesyen, malah menjadi medium pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk memupuk budaya lestari dalam kalangan generasi muda serta menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat universiti.