sumber : beautynesia
Puteri Norsalsabila Huda Abdul Rauf & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Trend penggunaan perkhidmatan PayLater semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, terutamanya pelajar dan golongan muda, kerana kemudahan membayar secara ansuran tanpa faedah dalam tempoh singkat. Namun, populariti ini turut menimbulkan kebimbangan kerana ramai pengguna kurang sedar akan risiko kewangan yang mungkin timbul akibat tabiat berbelanja berlebihan.
Pemerhatian menunjukkan bahawa kemudahan PayLater mendorong pengguna membuat pembelian impulsif tanpa mempertimbangkan kemampuan membayar balik. Ramai yang menggunakan perkhidmatan ini untuk membeli barangan mewah, gajet, atau keperluan harian secara berlebihan, sehingga berpotensi menjejaskan pengurusan kewangan peribadi. Sekiranya pembayaran tidak dibuat tepat pada masanya, caj tambahan dan hutang terkumpul boleh memberi tekanan kewangan yang serius.
Dalam kalangan pelajar universiti, fenomena ini lebih ketara apabila PayLater digunakan untuk menampung gaya hidup dan keperluan akademik yang tidak dianggarkan. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kewangan peribadi, malah menimbulkan tekanan mental dan gangguan tumpuan terhadap pelajaran.
Trend PayLater yang semakin digemari memerlukan kesedaran tinggi daripada pengguna untuk memastikan tabiat berbelanja terkawal. Pemantauan kewangan sendiri, had perbelanjaan, dan penggunaan bijak perkhidmatan ini dilihat penting bagi mengelakkan masalah hutang yang berpanjangan serta mengekalkan kestabilan kewangan di kalangan masyarakat muda.