7 Pelajar Komunikasi Sosial UPSI Sertai Program SULAM di Yogyakarta

Mohd Zulkarnain Bin Maddasul & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hassan

Seramai tujuh orang pelajar jurusan Komunikasi Sosial, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Program Pembelajaran Khidmat Masyarakat (SULAM) di Yogyakarta, Indonesia dari 26 Jun hingga 3 Julai 2025. Program ini dilaksanakan menerusi kerjasama pertukaran pembelajaran antara UPSI dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY) dengan memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dalam bidang komunikasi.

Program SULAM tersebut memfokuskan kepada pendidikan komuniti serta aplikasi media dan komunikasi dalam konteks masyarakat setempat. Sepanjang program, para pelajar terlibat dalam aktiviti perkongsian ilmu, perbincangan akademik serta latihan komunikasi bersama pelajar dan warga UMBY, selain menjalankan aktiviti berasaskan komuniti di sekitar Yogyakarta.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kefahaman pelajar terhadap perbezaan pendekatan pembelajaran dan komunikasi antara dua negara, di samping meningkatkan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, komunikasi antara budaya dan pemikiran kritis. Program ini juga menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori komunikasi yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi sebenar di peringkat antarabangsa.

Salah seorang peserta, Raxielly Janson, berkata beliau amat menghargai peluang yang diberikan kerana program tersebut membuka ruang kepada perspektif pembelajaran yang berbeza. “Saya sangat menghargai peluang menyertai program ini kerana dapat melihat dan memahami pendekatan pembelajaran komunikasi dari sudut yang berbeza berbanding di Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, pendedahan tersebut bukan sahaja memperkayakan pengalaman akademik, malah meningkatkan keyakinan diri sebagai pelajar komunikasi. Program SULAM antarabangsa ini membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan komuniti mampu memberi impak besar dalam membentuk graduan yang lebih holistik, berfikiran global dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa hadapan.