5 CARA TANJUNG MALIM BERKEMBANG MELALUI UPSI

 

Oleh: Muhamad Alif Haikal

TANJUNG MALIM – Sebuah pekan bersejarah yang dahulunya sinonim dengan status sebagai pekan transit antara Perak dan Selangor kini telah berubah wajah secara total. Transformasi Tanjung Malim daripada sebuah bandar kereta api lama kepada 'Kota Ilmu' yang dinamik tidak lagi dapat dipisahkan dengan kewujudan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berusia lebih dari satu abad jika diambil kira sejarah awalnya sebagai SITC, UPSI telah bertindak sebagai nadi utama kepada pertumbuhan sosioekonomi, infrastruktur, dan budaya tempatan.

Faktor pertama yang paling ketara ialah impak pemerkasaan ekonomi domestik menerusi sektor perniagaan dan perkhidmatan. Kehadiran puluhan ribu mahasiswa dan kakitangan universiti setiap semester secara tidak langsung mewujudkan rantaian permintaan ekonomi yang besar. Kedai-kedai makan, premis runcit, perkhidmatan dobi, dan pengangkutan awam tempatan sentiasa 'hidup' kerana disokong oleh kuasa beli komuniti kampus.

Gambar ini memaparkan kuasa beli mahasiswa yang menjadi penyumbang utama kepada kelangsungan premis makanan di sekitar Tanjung Malim, sekali gus menghidupkan ekosistem perniagaan tempatan 

Bagi mengesahkan perkara ini, seorang mahasiswa Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Saudara Ahmad Zulkifli, 22, menyatakan bahawa ekosistem perniagaan di sini sangat bergantung kepada kalendar akademik universiti.

"Apabila musim cuti semester tiba, rakan-rakan pelajar yang berniaga dan juga pemilik premis kecil memang terasa impaknya. Jualan boleh merosot sehingga 40 peratus. Kehadiran pelajar UPSI inilah yang sebenarnya menghidupkan dan menggerakkan rantaian ekonomi di pekan ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Cara kedua adalah melalui lonjakan drastik dalam sektor hartanah dan residensi. Permintaan yang tinggi terhadap rumah sewa, bilik, dan pangsapuri mendorong pemaju hartanah untuk membina kawasan perumahan baharu, khususnya di sekitar Proton City dan Taman Universiti. Pemilik-pemilik rumah tempatan mendapat pulangan pelaburan yang stabil melalui sewaan-sewaan kepada mahasiswa.

Seterusnya, cara ketiga adalah melalui asimilasi budaya dan pemindahan ilmu secara langsung daripada universiti kepada komuniti setempat. UPSI bukan sekadar 'menara gading' yang terasing, malah kepakaran akademik yang ada di dalam kampus sering dibawa keluar menerusi program khidmat masyarakat, kelas tuisyen percuma untuk anak-anak estet, serta program kesedaran alam sekitar.

Perkara ini disokong oleh pandangan seorang kawan mahasiswa, yang menegaskan bahawa komuniti pelajar sentiasa komited memastikan masyarakat sekeliling mendapat manfaat langsung daripada keberadaan institusi ini.

"Kami mahu rakan-rakan pelajar bukan sahaja cemerlang di dalam dewan kuliah, tetapi juga mampu memberikan solusi kepada isu-isu yang dihadapi oleh komuniti Tanjung Malim melalui projek inovasi dan aktiviti sukarelawan," ujar beliau ketika ditemuramah.

Poster hebahan acara UPSI Charity Run 2026 yang menjadi salah satu medium penganjuran aktiviti sukan berskala besar bagi merancakkan sektor pelancongan pendidikan. 

Faktor keempat ialah perkembangan Tanjung Malim sebagai hub pelancongan pendidikan. Penganjuran acara-acara berskala besar seperti Majlis Konvokesyen, seminar akademik antarabangsa, dan kejohanan sukan antara universiti (MASUM) membawa ribuan pelawat luar ke pekan ini. Hal ini secara langsung meningkatkan kadar penginapan di hotel-hotel, homestay, dan jualan produk tempatan.

Akhir sekali, perkembangan ini memacu kepada penaiktarafan infrastruktur moden dan jaringan digital di daerah Muallim. Pembinaan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton City membawa bersama kemudahan jalan raya yang lebih baik, sistem pengangkutan bas yang lebih efisien, dan juga liputan internet yang lebih pantas. Kesemua kemudahan ini bukan sahaja dapat dinikmati oleh warga kampus, malah memberi keselesaan jangka panjang kepada seluruh penduduk Tanjung Malim. Kesimpulannya, UPSI telah berjaya mengubah landskap fizikal dan sosial pekan ini menjadi sebuah wilayah yang mampan dan berdaya saing.