BELAJAR, BEKERJA DAN BERJAYA: PELUANG PELAJAR UPSI BERSAMA GZAM SIREH MEMPELAI

Suasana dewan sebelum majlis berlangsung.


Oleh: Nurul Sufi Sufa’a Mohamad Nizam & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


TANJONG MALIM – Gzam Sireh Mempelai, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan katering, gubahan bunga, solekan dan pengurusan majlis perkahwinan, turut membuka peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membantu mereka menambah pendapatan dan memperoleh pengalaman kerja.


Menurut Penolong Pengarah syarikat, Alia Syahirah, pelajar UPSI dipilih kerana mereka mempunyai disiplin yang baik dan komited dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Pelajar yang bekerja secara sambilan biasanya membantu dalam bahagian katering seperti menghidang makanan, melayan tetamu VVIP dan membantu pengantin sepanjang majlis berlangsung.


Alia Syahirah bersama pekerja sambilan UPSI.


Beliau berkata, pekerjaan tersebut membolehkan pelajar mempelajari pelbagai kemahiran penting termasuk komunikasi, ketepatan masa dan penyediaan makanan. Selain itu, syarikat berharap pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh pelajar dalam kerjaya mereka pada masa hadapan.


Salah seorang pekerja sambilan, Ikmal Haikal bin Noor Hishamuddin, pelajar program AC10 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) UPSI, berkata beliau telah bekerja bersama syarikat itu selama lebih setahun selepas mengetahui peluang tersebut melalui rakan-rakannya.


Ikmal Haikal bersama rakan-rakan UPSI selepas tamat masa bekerja sambilan.


Menurut Ikmal, pekerjaan sambilan itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberinya pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar. Beliau turut mempelajari kemahiran baharu serta kepentingan pengurusan masa yang baik bagi menyeimbangkan antara tugasan akademik dan kerja.


Beliau berharap lebih ramai pelajar memanfaatkan peluang pekerjaan sambilan seperti ini untuk menambah pengalaman dan mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian.