TANJONG MALIM — Penyebaran berita palsu semakin membimbangkan masyarakat, terutamanya apabila melibatkan isu semasa yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Antara berita palsu yang hangat diperkatakan ialah dakwaan mengenai kenaikan harga minyak di Malaysia, yang tular di media sosial dan mencetuskan kegusaran orang ramai.
Sylvia, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut. Menurutnya, berita palsu tentang kenaikan harga minyak merupakan antara maklumat tidak sahih yang sering disebarkan tanpa semakan.
(Sylvia, pelajar UPSI ketika ditemu bual)
“Saya pernah terbaca berita mengenai kenaikan harga minyak yang tular di media sosial. Namun, selepas membuat semakan melalui sumber rasmi, saya mendapati bahawa berita tersebut adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui di Tanjong Malim.
Beliau turut menegaskan bahawa penyebaran berita palsu boleh menimbulkan panik dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya sikap bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan maklumat.
“Sebagai pengguna media sosial, kita perlu memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi. Semak dahulu melalui sumber yang dipercayai seperti laman web rasmi kerajaan atau agensi berita yang sah,” tambahnya.
Menurut Sylvia lagi, amalan menyemak fakta bukan sahaja dapat mengelakkan penyebaran maklumat palsu, malah mampu membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan dan berfikiran kritis. Sikap ini amat penting dalam era digital yang serba pantas.
Kesimpulannya, setiap individu memainkan peranan penting dalam mengekang penularan berita palsu. Dengan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, masyarakat dapat mewujudkan persekitaran komunikasi yang lebih beretika dan berintegriti.