Budaya Jadi Penghubung: IKSAS Cultural Day Satukan Mahasiswa Pelbagai Latar Belakang

Peserta dan pengunjung bergambar bersama sempena IKSAS Cultural Day 2026 yang berlangsung di Auditorium Utama, KSAJS UPSI. (Foto: Arlyenah Musah)

 Oleh: Arlyenah Musah

TANJONG MALIM – Pakaian etnik yang berwarna-warni dan pelbagai aktiviti kebudayaan mewarnai penganjuran IKSAS Cultural Day 2026 di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) itu berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang budaya. Selain mahasiswa UPSI, program tersebut turut menerima kehadiran pelajar Sabah dari institusi pengajian tinggi lain yang hadir bagi memeriahkan program tersebut.



Pelbagai pertandingan dan aktiviti kebudayaan dianjurkan bagi memperkenalkan keunikan budaya Sabah kepada peserta dan pengunjung. Antara aktiviti yang mendapat perhatian ialah persembahan kebudayaan, pertandingan nyanyian dan pertandingan berkaitan warisan etnik serta sesi pengenalan adat dan tradisi masyarakat Sabah.

Menurut seorang peserta program, aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengenali budaya Sabah dengan lebih dekat serta berkenalan dengan peserta dari pelbagai tempat.

Kehadiran peserta daripada pelbagai kaum dan negeri menjadikan program tersebut lebih meriah serta mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa. Selain memperkenalkan warisan budaya Sabah, program ini turut mengeratkan hubungan antara mahasiswa serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.

Secara keseluruhannya, IKSAS Cultural Day 2026 berjaya menjadi platform untuk mempromosikan budaya Sabah sambil memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.