Oleh: Zainul Ariffin Bin Faridal Izazi
Penggunaan ChatGPT dan AI ChatBot kini tidaklah asing bagi mahasiswa dan mahasiswi di fasa pengajian tinggi atau universiti. Chat Generative Pre-trained Transformer atau lebih dikenali sebagai ChatGPT merupakan satu medium perantaraan “Artificial Intelligence (AI)” dengan pengguna yang dahulunya diakses melalui platform Google sebelum kini memasuki pasaran Google Play dan App Store untuk mengakses terus ke aplikasi tersebut.
Mengapa ia dikatakan platform yang tidak asing bagi pelajar universiti?
ChatGPT merupakan medium yang sangat berpengetahuan dan mampu memberikan setiap jawapan terhadap apa jua soalan yang diajukan oleh pengguna. Penggunaan platform atau aplikasi ini jelas menunjukkan kebolehan luar batasan yang sangat memberikan kemudahan dan pengetahuan tanpa perlu membaca artikel, membaca tesis, jurnal dan buku. Hal ini dikatakan demikian kerana, hampir setiap soalan yang diajukan oleh pengguna dalam semua bidang, ChatGPT dapat selesaikan dalam sekelip mata, bahkan juga ia menjadi trend semasa bagi semua pelajar lebih lebih lagi di peringkat pengajian tinggi kerana jam kredit yang diperuntukkan terhadap pelajar amatlah tidak mencukupi untuk pelajar memperoleh setiap intipati dan silibus yang diajarkan sewaktu tempoh PdP.
Sehubungan dengan itu, hal ini hangat diperkatakan sebagai salah satu platform yang berguna dan ada juga yang mengatakan ianya mampu memberi kesan buruk terhadap prestasi pelajar lebih lebih lagi di dewan peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada yang menggunakannya secara berhemah seperti untuk mendapatkan idea, mengembangkan idea, pendapat dan sumber serta bahan ilmiah daripada tokoh atau pakar akademik sebagai sumber rujukan untuk tugasan.
Namun, disebaliknya ada juga yang tidak bertanggungjawab atau menginginkan jalan pintas untuk menyiapkan tugasan yang pada awalnya telah diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk disiapkan. Hal ini terbukti apabila terdapat segelintir pelajar yang dikesan menggunakan AI sepenuhnya dalam tugasan mereka. Hal ini mampu dikesan apabila para pensyarah juga telah memiliki akses oleh platforn AI detector seperti Turnitin yang membantu para pensyarah membuat penilaian pemarkahan.
Mengapa hal ini berlaku dalam kalangan pelajar ?
Setiap pelajar menginginkan markah yang tinggi namun terlampau banyak waktu yang dibazirkan dengan perkara tidak berfaedah seperti melayari internet, bermain permainan video bersama rakan dan melayari media sosial. Hal ini membuatkan mereka kesuntukkan masa untuk menyiapkan tugasan mereka sekali gus mengambil langkah pantas dengan menggunakan ChatGPT untuk menyelesaikan tugasan.
Penggunaan ChatGPT ini haruslah menjadi satu langkah alternatif untuk memperoleh idea dan bukan untuk disalahgunakan bagi tujuan seperti ini. Hal ini turut dibincangkan oleh salah seorang pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) iaitu Dr Shelena A/P Soosay Nathan dan Dr Mazidah Mat Rejab yang mengatakan bahawa penggunaan ChatGPT seperti ini mampu memberi ancaman kepada pendidikan di negara ini jika hanya “mengejar mata rubrik bukan pengetahuan”. Hal ini terbukti apabila pengetahuan pelajar menjadi kurang aktif dan lebih menjadi pasif di bilik kuliah apabila soalan berkaitan pembelajaran diajukan oleh para pensyarah.
Dalam konteks ini, kegiatan pelajar di peringkat universiti seperti ini amatlah mengancam tahap pendidikan generasi pendidik pada masa akan datang. Penggunaan ChatGPT haruslah menjadi salah satu platform untuk pelajar lebih mudah memahami kehendak tugasan, menjana idea dan berfikir aras tinggi dengan bantuan AI ini. Penggunaan ChatGPT dalam tugasan haruslah digunakan dengan lebih berhemah dan efektif oleh para pelajar bagi menjamin keberkesanan kewujudan AI dalam dunia manusia dan mengelakkan ketandusan pemikiran yang berlaku apabila kebergantungan pelajar terhadap AI ini.
Sehubungan dengan itu, pihak penilaian atau lebih lebih lagi para pensyarah perlulah menekankan hal ini dalam kalangan para pelajar tentang cara penggunaan yang berkesan, efektif dan berhemah. Kegagalan dalam mendidik pelajar tentang penggunaan AI amatlah membimbangkan jika tidak dibendung dengan pantas dan tegas. Kewujudan platform penilaian penggunaan AI amat memberikan kemudahan terhadap pihak penilaian, pendidik dan pembangunan asas penjanaan idea pelajar. Kebergantungan terhadap AI perlulah dicegah dan dibendung dalam memastikan keterjaminan akademik dan tahap pemikiran generasi akan datang.