Oleh: Akmal Haziq Sulaiman & Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Tanjong Malim, 26 April 2026 – Dalam kehidupan mahasiswa masa kini, keperluan asas seperti
makanan yang sepatutnya menjadi satu jaminan semakin menjadi satu cabaran yang
perlu dihadapi. Peningkatan kos sara hidup serta kekangan kewangan menyebabkan
sebahagian pelajar universiti terpaksa berjimat secara keterlaluan, malah ada
yang mengurangkan kualiti pemakanan demi meneruskan kehidupan di kampus.
Situasi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal,
mental serta prestasi akademik pelajar.
Seiring dengan realiti tersebut,
Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan
program Dapur Kasih Bitara 2.0: Halal Itu Tayyib X SEHATI sebagai satu
inisiatif yang memberi fokus kepada kebajikan pelajar, khususnya dalam aspek
akses kepada makanan.
[GAMBAR 1: Aktiviti
penyembelihan lembu/ayam oleh peserta]
Program ini dianjurkan oleh Exco
Kerohanian MMK KAB dengan kerjasama strategik badan beruniform universiti iaitu
PALAPES, SUKSIS dan SISPA UPSI, sekali gus memperlihatkan kerjasama erat
antara pelbagai entiti dalam kalangan mahasiswa. Kolaborasi ini bukan sahaja
memastikan kelancaran pelaksanaan program, malah menyemai nilai kepimpinan,
disiplin serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.
Bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar
(PAP), Kolej Aminuddin Baki, program ini menampilkan pendekatan praktikal
melalui aktiviti penyembelihan haiwan seperti lembu dan ayam mengikut kaifiat
syarak. Aktiviti bermula seawal pagi dengan penyertaan pelajar dan jawatankuasa
pelaksana, diikuti dengan sesi praktikal yang merangkumi proses penyembelihan,
melapah, pembersihan, pemotongan serta penyediaan makanan.
[GAMBAR 2: Proses
melapah dan pembersihan ayam/lembu]
Pendekatan “learning by doing” ini
memberi peluang kepada peserta untuk memahami keseluruhan rantaian penyediaan
makanan dari sumber hingga ke hidangan. Secara tidak langsung, ia meningkatkan
kesedaran pelajar terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan serta
kepentingan makanan yang halal dan baik untuk dimakan.
Program ini turut melibatkan
penyertaan aktif pelajar daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli badan
beruniform PALAPES, SUKSIS dan SISPA, serta penghuni kolej kediaman
UPSI. Penglibatan mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran
perjalanan program, khususnya dalam aspek logistik, keselamatan dan pengurusan
aktiviti berskala besar.
[GAMBAR 3: Pelajar terlibat dalam aktiviti gotong-royong]
Bagi mendapatkan perspektif yang lebih
mendalam mengenai pelaksanaan program ini, satu sesi temu bual telah dijalankan
bersama Pengarah Program, Muhammad Hakimullah.
Ketika ditanya mengenai tujuan utama
penganjuran program ini, beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut lahir
daripada keprihatinan terhadap kebajikan pelajar, khususnya dalam aspek
makanan.
“Saya buat program ini tidak lain
tidak bukan adalah untuk memberi makan kepada semua orang, khususnya
penghuni-penghuni kolej yang mungkin tiada makanan langsung untuk dimakan,”
katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu kelaparan
sifar dalam kalangan pelajar, beliau berpendapat bahawa walaupun terdapat
pelajar yang menerima sokongan kewangan daripada keluarga, isu berkaitan akses
kepada makanan masih perlu diberi perhatian.
“Pendapat saya, isu kelaparan sifar
dalam kalangan pelajar ini tidak boleh dilihat secara umum. Memang ada pelajar
yang datang daripada keluarga yang berkemampuan dan mendapat sokongan kewangan
daripada ibu bapa, namun masih terdapat juga pelajar yang menghadapi kekangan
kewangan dan perlu berjimat dalam kehidupan harian mereka,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, persepsi bahawa
semua pelajar berada dalam keadaan kewangan yang stabil perlu dinilai semula
kerana realiti sebenar menunjukkan masih wujud jurang dalam kalangan mahasiswa.
Dalam masa yang sama, beliau turut
berkongsi pandangan mengenai impak program ini terhadap komuniti di UPSI.
“Impak program ini kepada komuniti
UPSI adalah ia dapat memupuk semangat untuk saling membantu, terutamanya kepada
mereka yang kurang berkemampuan. Selain itu, program ini juga memberi inspirasi
kepada warga kampus untuk terus bekerjasama dan mengeratkan hubungan ukhwah
sesama manusia,” katanya.
[GAMBAR 4: Aktiviti
memasak dan penyediaan makanan]
Selain aspek pendidikan, program ini
turut memberi impak dari sudut kebajikan melalui penyediaan kemudahan dapur
kepada penghuni kolej. Inisiatif ini membolehkan pelajar menyediakan makanan
sendiri dengan kos yang lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan beban
kewangan harian. Dalam jangka panjang, usaha ini dilihat mampu menjadi satu
solusi praktikal dalam menangani isu makanan dalam kalangan pelajar.
Majlis ini turut diserikan dengan
kehadiran jemputan luar yang terdiri daripada barisan pentadbiran kolej dan
tokoh pelajar. Antara yang hadir ialah Pengetua Kolej Harun Aminurrashid
(KHAR), Dr. Che Anuar bin Che Abdullah; Pengetua Kolej Za’ba (KZ), Encik Yusop
bin Ahmad; Pengetua Kolej Aminah Hj. Sulaiman (KAHS), Dr. Mardiana Binti
Ismail; serta Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Prof. Madya Ts. Dr.
Che Ghani bin Che Kob.
Turut hadir ialah Encik Zulfiqar Zaidi
sebagai wakil WEZAS, Ketua Jurulatih SUKSIS UPSI, Tuan ASP Muhammad Asmawi bin
Ramli, serta Ketua Jurulatih PALAPES UPSI, Tuan Mejar Muhammad Firdaous bin A.
Ghafar. Kehadiran tokoh siswa negara 2025, Ng Zhen Fan, serta Yang Dipertua
Kolej Awang Had Salleh turut menambah seri majlis ini. Program ini juga
dimeriahkan dengan kehadiran pelajar badan beruniform serta warga kolej
kediaman UPSI.
[GAMBAR 5: Gambar
berkumpulan VIP dan peserta]
Dari perspektif yang lebih luas,
program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable
Development Goals – SDG), khususnya SDG 2: Zero Hunger, yang menekankan
kepentingan akses kepada makanan yang mencukupi dan berkualiti. Selain itu,
kerjasama antara pelbagai pihak dalam menjayakan program ini juga mencerminkan
elemen SDG 17: Partnership for the Goals.
Walau bagaimanapun, persoalan yang
perlu diberi perhatian ialah sejauh mana keberkesanan program seperti ini dalam
jangka masa panjang. Adakah inisiatif ini akan diteruskan secara berkala dan
diperluaskan ke kolej lain? Penilaian terhadap impak sebenar kepada pelajar
yang memerlukan juga penting bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar
memberi kesan yang signifikan.
Secara keseluruhannya, Dapur Kasih
Bitara 2.0: Halal Itu Tayyib X SEHATI merupakan satu inisiatif yang
berimpak tinggi kerana berjaya menggabungkan elemen pendidikan agama, kebajikan
pelajar dan pembangunan komuniti dalam satu platform yang holistik. Sokongan
komuniti kampus yang ditunjukkan melalui program ini membuktikan bahawa isu
makanan dalam kalangan pelajar bukan sahaja boleh ditangani, malah mampu
menjadi titik tolak kepada pembentukan masyarakat kampus yang lebih prihatin,
inklusif dan berdaya tahan