Oleh: Mayveline anak Nakan & Dr. Ahmad Sauffiyan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah kepada program "Jelajah Aspirasi 2026: Wacana Mahasiswa Utara" yang berlangsung pada 26 April 2026, bermula jam 10.00 pagi, bertempat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Program anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian tinggi zon utara ini turut mendapat kerjasama daripada MPP UPSI, MPP UUM, serta beberapa badan perwakilan pelajar lain di rantau utara. Inisiatif ini bertujuan menjadi platform wacana dan perbincangan terbuka antara mahasiswa dengan pihak pentadbiran universiti serta kementerian berkaitan, dalam usaha menyalurkan aspirasi, pandangan, dan cadangan mahasiswa terhadap isu-isu pendidikan tinggi semasa.
Program ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, yang hadir bagi mendengar secara langsung suara dan harapan mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam di rantau utara negara.
Kehadiran beliau dilihat sebagai sokongan padu pihak kementerian terhadap usaha mahasiswa dalam menyuarakan pandangan secara sistematik dan berhemah, selaras dengan hasrat untuk memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi negara yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan generasi muda.
Menurut salah seorang peserta, Caronella, program ini banyak memberi pengetahuan mengenai pelbagai kemudahan dan bantuan yang ditawarkan di universiti, terutamanya berkaitan Dapur Siswa dan Foodbank. Beliau berkata maklumat sebegini amat berguna kepada mahasiswa yang mungkin belum mengetahui kewujudan kemudahan tersebut sebelum ini.
Program "Jelajah Aspirasi 2026" ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara mahasiswa dan pembuat dasar, sekaligus memberi ruang kepada golongan mahasiswa untuk turut sama dalam proses pembentukan dasar pendidikan tinggi negara.