Jom Turun Masjid: Inisiatif UPSI Eratkan Ukhuwah Warga Kampus



Oleh: Nurin Alifah Ilyana Suhaimi & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan 


Tanjong Malim, 2026 – Dalam usaha memperkukuhkan hubungan sesama mahasiswa serta menghidupkan budaya mengimarahkan masjid, program Jom Turun Masjid dilaksanakan di Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sepanjang tahun 2026.


Program yang berlangsung setiap hari selepas waktu Maghrib hingga Isyak itu merupakan salah satu inisiatif bagi menggalakkan mahasiswa Muslim UPSI mendekati institusi masjid serta menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah dan kerohanian. Dengan slogan *“Rapatkan Saf, Kukuhkan Ukhuwah”*, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk meluangkan masa bersama dalam suasana yang lebih harmoni dan berlandaskan nilai-nilai Islam.


Menurut pihak penganjur, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti keagamaan bukan sahaja dapat meningkatkan amalan ibadah, malah mampu membentuk jati diri yang lebih baik serta memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan warga kampus. Kehadiran yang konsisten juga dapat membantu mahasiswa mengekalkan keseimbangan antara tuntutan akademik dan pembangunan rohani.


Selain solat berjemaah, program ini turut menjadi platform untuk mahasiswa berinteraksi, bertukar pandangan dan mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan daripada pelbagai fakulti. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan suasana kampus yang lebih mesra dan bersatu. Bagi menggalakkan penyertaan, pihak penganjur turut menyediakan mata merit kepada peserta yang hadir. Malah, kehadiran penghuni Muslim UPSI telah ditetapkan sebagai satu kewajipan bagi memastikan objektif program dapat dicapai dengan lebih berkesan.


Seorang mahasiswa UPSI yang ditemui berkata program seperti ini memberi impak positif kepada kehidupan pelajar kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan disiplin dalam menunaikan solat berjemaah, malah membuka ruang untuk mengenali lebih ramai rakan dan membina jaringan sosial yang sihat.


Melalui penganjuran Jom Turun Masjid, UPSI berharap lebih ramai mahasiswa dapat menjadikan masjid sebagai destinasi utama dalam kehidupan seharian, sekali gus melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik dah sahsiah diri.