Kecerdasan Buatan: Pembantu Atau Pengganti Wartawan?

 

Sesi temu bual bersama wartawan The Sun Daily, Qirana Nabilla Mohd Rashidi berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri media.


Oleh: Nur Sabrina Abdul Sabbar


TANJONG MALIM – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) telah membawa perubahan besar dalam pelbagai sektor termasuk industri media dan kewartawanan. Teknologi ini semakin digunakan bagi membantu mempercepatkan pelbagai tugasan harian wartawan, namun peranan manusia masih kekal penting dalam memastikan kualiti dan kredibiliti sesuatu laporan berita.


Wartawan The Sun Daily, Qirana Nabilla Mohd Rashidi, berkata penggunaan AI kini menjadi sebahagian daripada rutin kerja pengamal media khususnya dalam proses transkripsi temu bual dan penyediaan ringkasan kandungan. Menurut beliau, antara platform AI yang sering digunakan ialah ChatGPT, Gemini dan TurboScribe bagi membantu mempercepatkan proses penghasilan bahan berita. “AI banyak membantu dari segi transkripsi dan ringkasan kandungan. Rakaman temu bual yang panjang boleh ditukarkan kepada bentuk teks dengan lebih cepat berbanding kaedah manual,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.


Penggunaan AI bukan sahaja menjimatkan masa, malah membolehkan wartawan memberi lebih tumpuan kepada tugasan penting seperti menjalankan temu bual, mendapatkan maklumat daripada sumber dan membuat liputan di lapangan. Walau bagaimanapun, Cik Qirana menegaskan bahawa AI hanya berfungsi sebagai alat bantuan dan bukannya pengganti kepada tugas seorang wartawan.


Menurut beliau, proses semakan fakta masih perlu dilakukan oleh manusia kerana terdapat keadaan di mana AI menghasilkan maklumat tambahan yang tidak terdapat dalam sumber asal atau menggunakan data yang sudah lapuk. “Wartawan masih perlu menyemak semua maklumat yang dihasilkan AI kerana terdapat risiko kesilapan fakta jika kandungan tersebut digunakan tanpa pengesahan,” jelasnya.


Selain itu, beliau berpandangan bahawa aspek seperti pengalaman, empati dan pertimbangan situasi tidak dapat digantikan oleh teknologi. Wartawan bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi turut memainkan peranan memahami konteks sesuatu isu serta mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan laporan yang dihasilkan lebih seimbang dan beretika. “AI boleh membantu memudahkan kerja, tetapi wartawan tetap diperlukan kerana AI tidak mempunyai pengalaman dan empati seperti manusia,” katanya.


Jelasnya, keseimbangan antara penggunaan teknologi dan sentuhan manusia amat penting bagi memastikan industri kewartawanan terus relevan serta mampu mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap media.