Keselamatan Mahasiswa UPSI di Tanjung Malim: Sejauh Mana Terjamin?

 

(Pintu Utama UPSI)

Oleh Muhammad Ammar Haziq 


TANJUNG MALIM – Keselamatan pelajar universiti sering menjadi antara aspek penting dalam kehidupan kampus, khususnya bagi mahasiswa yang tinggal di kawasan luar bandar seperti Tanjung Malim. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai salah sebuah institusi pendidikan utama di Malaysia yang menempatkan ribuan pelajar, terus memberi perhatian terhadap aspek keselamatan sama ada di dalam mahupun luar kampus.

Dengan lokasi kampus yang dikelilingi kawasan perumahan, kedai makan, serta laluan utama yang sentiasa digunakan oleh pelajar, isu keselamatan menjadi antara perkara yang sering dibincangkan dalam kalangan mahasiswa. Ini termasuk aspek keselamatan pada waktu malam, penggunaan pengangkutan awam, serta pergerakan pelajar antara kolej kediaman dan kawasan sekitar.

Selain digunakan oleh mahasiswa UPSI, jalan utama di luar kawasan universiti juga menjadi laluan penting kepada para pekerja yang berulang-alik ke kawasan perindustrian Proton City, sekali gus menjadikan kawasan tersebut lebih sibuk terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

Bagi sesetengah pelajar, kehidupan di Tanjung Malim dianggap agak tenang berbanding bandar besar, namun masih terdapat kebimbangan terutama apabila melibatkan pergerakan seorang diri pada waktu lewat malam.

Ahmad Fadhly, 22 tahun dari Fakulti Sains dan Kejurulatihan menyatakan bahawa beliau berasa selamat secara umum di kawasan kampus, namun tetap berhati-hati apabila berada di luar kawasan universiti.

“Secara keseluruhan saya rasa selamat di UPSI, terutama dalam kampus kerana ada kawalan keselamatan. Tapi kalau di luar kampus pada waktu malam, saya akan lebih berhati-hati dan biasanya tidak bergerak seorang diri,” katanya.

Selain itu, pelajar juga bergantung kepada kemudahan pengangkutan seperti bas universiti dan perkhidmatan e-hailing untuk bergerak ke kawasan sekitar. Namun begitu, faktor masa menunggu dan kekerapan pengangkutan juga kadang-kadang menjadi isu, terutama ketika waktu puncak atau lewat malam.

Seorang lagi pelajar UPSI iaitu Muhammad Iman , 22 tahun daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi menyatakan bahawa kemudahan keselamatan yang disediakan universiti membantu memberi keyakinan kepada pelajar, namun kesedaran diri tetap memainkan peranan penting.

“UPSI memang ada kawalan keselamatan dan itu membantu kami sebagai pelajar. Tapi pada masa yang sama, kami sendiri perlu peka dengan keadaan sekeliling dan elakkan berjalan sendirian di kawasan sunyi,” katanya.

Pihak keselamatan universiti juga dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan kampus berada dalam keadaan terkawal. Rondaan berkala, pemantauan CCTV, serta kehadiran pengawal keselamatan di pintu masuk utama kampus membantu meningkatkan tahap keselamatan pelajar.

Walaupun begitu, cabaran tetap wujud terutama apabila melibatkan kawasan luar kampus yang tidak berada di bawah kawalan terus pihak universiti. Justeru, pelajar dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap persekitaran dan mengutamakan langkah berjaga-jaga dalam pergerakan harian mereka.

Isu keselamatan pelajar juga sering dikaitkan dengan kesedaran komuniti kampus itu sendiri. Sikap berhati-hati, tidak terlalu terdedah pada waktu malam, serta membuat perancangan perjalanan yang baik dilihat antara langkah penting bagi mengurangkan risiko yang tidak diingini.

Seorang pengawal keselamatan UPSI yang ditemui menyatakan bahawa aspek keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak universiti, khususnya pada waktu malam dan hujung minggu.

“Pihak keselamatan sentiasa membuat rondaan dan memantau kawasan yang menjadi tumpuan pelajar. Kami juga menasihatkan pelajar supaya tidak berjalan seorang diri pada waktu lewat malam demi keselamatan mereka,” katanya.

Secara keseluruhannya, tahap keselamatan mahasiswa UPSI di Tanjung Malim boleh dikatakan berada dalam keadaan terkawal dengan adanya sistem keselamatan universiti yang teratur. Namun, kesedaran individu tetap menjadi faktor utama dalam memastikan keselamatan diri sentiasa terjamin.

Kehidupan sebagai mahasiswa bukan sahaja tertumpu kepada akademik, tetapi juga bagaimana mereka mengurus keselamatan diri dalam persekitaran baharu. Dengan kerjasama antara pihak universiti, komuniti setempat dan pelajar sendiri, isu keselamatan ini dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.