KLIK, KONGSI, PERCAYA? BAHAYA DI SEBALIK BERITA PALSU
Oleh: Muhammad Haikal Bin Hakim dan Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM, 13 APRIL 2026 - Dalam era digital masa kini, penyebaran maklumat berlaku dengan sangat pantas hanya melalui satu klik. Namun begitu, kemudahan ini turut membuka ruang kepada penularan berita palsu yang semakin membimbangkan. Ramai pengguna media sosial cenderung untuk terus berkongsi sesuatu berita tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu, sekaligus menyumbang kepada penyebaran maklumat yang tidak tepat.
(Gambar 1: Sesi temubual bersama mahasiswi UPSI)
“Jangan percaya melulu dan menyebar luas sebarang isu yang didengari kerana kebanyakkan orang awam mudah panik”.
Isu berita palsu bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menimbulkan panik, salah faham, dan perpecahan dalam kalangan orang ramai. Sebagai contoh, penyebaran berita tidak sahih berkaitan bencana, kesihatan, atau isu sensitif boleh menyebabkan ketakutan yang tidak berasas. Lebih memburukkan keadaan, berita palsu juga boleh menjejaskan reputasi individu atau organisasi tertentu.
Salah satu punca utama fenomena ini adalah sikap pengguna yang terlalu bergantung kepada tajuk sensasi tanpa membaca keseluruhan kandungan. Selain itu, keinginan untuk menjadi yang terawal menyebarkan sesuatu berita turut mendorong tindakan berkongsi tanpa berfikir panjang. Kurangnya literasi media dalam kalangan masyarakat juga menjadi faktor yang menyumbang kepada masalah ini.
(Gambar 2: Sesi temubual bersama mahasiswi UPSI)
“Penyebaran berita palsu adalah tindakan yang tidak wajar, kita sebagai manusia di kalangan mahasiswa haruslah cakna dengan berita yg kita dapat”.
Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam membendung penyebaran berita palsu. Antara langkah yang boleh diambil ialah menyemak sumber berita, merujuk kepada laman rasmi, dan tidak mudah mempercayai maklumat yang meragukan. Sikap bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial amat penting bagi memastikan maklumat yang dikongsi adalah sahih dan tidak memudaratkan orang lain.
Secara keseluruhannya, sebelum kita klik, kongsi, dan percaya, fikirkan dahulu kesan yang mungkin berlaku. Dalam dunia tanpa sempadan ini, kebijaksanaan kita dalam menilai maklumat adalah benteng utama daripada terperangkap dalam jerat berita palsu.
Gambar 1: Sesi temubual bersama mahasiswi UPSI
Gambar 2: Sesi temubual bersama mahasiswi UPSI