Laju Tapi 'Culas'? Dilema Wi-Fi Kampus dan Kebergantungan Digital Mahasiswa UPSI


How Does Wireless Work The Basics Explained

TANJONG MALIM - Dalam era transformasi digital hari ini, komputer riba dan sambungan internet bukan lagi satu kemewahan di menara gading, melainkan satu keperluan asas yang setaraf dengan bekalan air dan elektrik. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kemudahan Wi-Fi kampus menjadi talian hayat utama bagi ribuan mahasiswa untuk mengakses bahan kuliah, menghadiri kelas harian, dan menyiapkan tugasan akademik yang menimbun. Bagaimanapun, sejauh manakah keberkesanan prasarana digital ini dalam memenuhi keperluan warga kampus?

Realitinya, pengalaman menggunakan Wi-Fi di dalam kampus adalah rencam dan berbeza-beza mengikut dinamika lokasi serta corak penggunaan pelajar itu sendiri. 

Bagi sebahagian mahasiswa, infrastruktur Wi-Fi sedia ada sudah berada pada tahap yang sangat memuaskan. Haekal, seorang mahasiswa UPSI, menyifatkan sambungan internet kampus sebagai sesuatu yang laju dan stabil. Malah, beliau jarang menggunakan data internet selular sendiri apabila berada di dalam kawasan kampus kerana kualiti rangkaian yang disediakan sudah mencukupi untuk urusan harian beliau. 

"Sambungan memang menjadi sedikit perlahan apabila ramai orang menggunakannya secara serentak pada waktu puncak. Namun, jika menggunakan internet dari jam 12 malam ke atas, kelajuannya menjadi sangat luar biasa kerana jumlah pengguna sudah berkurangan. Itu waktu paling menyeronokkan untuk memuat turun bahan akademik," kongsi Haekal. 

Namun, Haekal tidak menafikan wujudnya perbezaan kekuatan isyarat mengikut geografi kampus. Faktor fizikal seperti ketebalan dinding bangunan adakalanya menjadi punca gangguan isyarat di sesetengah kawasan, sehingga memaksa pelajar beralih tempat demi mencari sambungan yang lebih kuat. Beliau turut menekankan aspek disiplin diri, di mana mahasiswa sepatutnya memanfaatkan kemudahan ini untuk tujuan akademik dan bukannya hiburan melampau yang boleh merosakkan rutin harian.

Di sebalik maklum balas positif tersebut, keluhan mengenai isu ketidakstabilan rangkaian tetap kedengaran daripada sudut koridor kampus yang lain. Nur Farah Abzal, mahasiswi program ISM Sains Pertanian (Pengembangan Pertaniandengan Pendidikan daripada Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional, berkongsi pengalaman yang sedikit berbeza. 

Farah mendapati kelajuan Wi-Fi kampus adakalanya tidak konsisten dan sering terputus secara tiba-tiba, satu situasi yang diakuinya kerap mencetuskan tekanan (stres) sewaktu sedang rancak menyiapkan tugasan akademik. 

"Isu sambungan terputus ini sangat memberi kesan apabila saya perlu menggunakan aplikasi berat seperti Canva untuk menyiapkan tugasan grafik. Disebabkan itu, saya hanya menggunakan Wi-Fi universiti khusus untuk kerja akademik di laptop, manakala telefon pintar pula saya lebih selesa menggunakan data internet sendiri sebagai pelan sandaran agar tugasan tidak terganggu," kata Farah. 

Meskipun menghadapi gangguan tersebut, Farah memilih untuk tidak keluar mencari kawasan lain semata-mata demi isyarat yang lebih baik. Bagi mengatasi dilema ini, beliau menyarankan agar pihak universiti sentiasa memantau prestasi dan tahap kelajuan Wi-Fi secara berkala. 

"Harapan saya adalah agar kemudahan ini dipertingkatkan sehingga ke tahap setiap bilik mempunyai satu unit Wi-Fi yang tersendiri, berbanding sistem perkongsian mengikut rumah atau blok seperti sekarang. Pelajar masa kini sangat bergantung kepada komputer dan internet yang stabil untuk kelangsungan pengajian mereka," tambah Farah lagi.

Melalui usaha penambahbaikan yang berterusan daripada pihak pengurusan universiti, kemudahan Wi-Fi kampus pastinya akan terus menjadi pemangkin utama dalam melahirkan graduan yang tangkas digital dan berdaya saing.