Oleh : Ridianatasya Binti Rizal dan Ahmad Saufiyyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM – Meniti kehidupan sebagai seorang mahasiswa di menara gading pastinya menuntut pengorbanan yang besar, bukan sahaja dari sudut mental dan akademik, malah dari segi pengurusan kewangan peribadi. Dalam menelusuri landskap ekonomi hari ini, isu kewangan sering kali menjelma sebagai cabaran paling utama, terutamanya bagi kelompok pelajar yang datang daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan. Rentetan daripada kekangan tersebut, antara inisiatif bijak dan praktikal yang sering diambil oleh golongan ini adalah dengan memburu lubuk makanan yang murah, sedap, namun tetap mampu mengenyangkan bagi menampung kelangsungan hidup seharian. Malah, cabaran untuk mencari hidangan yang bukan sahaja menyelerakan tetapi tidak “mengoyakkan” poket terutamanya menjelang fasa kritikal di hujung bulan, sentiasa menjadi agenda serta strategi utama dalam diari kehidupan mereka.
Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Cafe Ezzati, DKP secara konsisten sentiasa menjadi lokasi atau “port” makan yang paling bijak dan popular buat para mahasiswa. Kafe ini menjadi sebutan rujukan kerana keupayaannya menawarkan kualiti rasa yang sedap, kepelbagaian variasi pilihan makanan, servis pelayan yang sangat pantas, dan yang paling penting ialah harganya yang sangat mesra poket atau bertaraf harga ‘Rahmah’.
Bayangkan, dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat di luar sana, sebuah hidangan lengkap yang merangkumi nasi putih yang hangat, pilihan lauk utama yang menyelerakan seperti ayam goreng atau ikan, bersama limpahan sayur-sayuran segar hanya boleh didapati dengan harga serendah RM5.50 sahaja! Harga sebegini seolah-olah satu keajaiban buat mahasiswa yang terpaksa mencatu perbelanjaan harian mereka.
Kafe yang strategik ini sentiasa bersedia memenuhi selera warga kampus tanpa jemu, bermula daripada penyediaan menu sarapan pagi yang ringkas tetapi mengenyangkan sehinggalah kepada sajian makan tengahari yang berat dan memuaskan. Apa yang lebih mengagumkan, walaupun pelajar akan mula berpusu-pusu memenuhi ruang kafe ini sejurus sahaja tamat waktu kuliah, namun kualiti servis yang diberikan oleh pihak pengurusan kafe tidak pernah mengecewakan.
Kelancaran operasi mereka memastikan pelajar tidak perlu beratur terlalu lama sehingga mengganggu jadual kelas seterusnya.
Bagi kelompok pelajar yang perlu bijak menguruskan baki wang pinjaman boleh ubah seperti PTPTN atau dana biasiswa, Cafe Ezzati diibaratkan sebagai satu “talian hayat” yang memanjangkan nafas kelangsungan hidup mereka di kampus. Kehadiran kafe ini membolehkan pelajar menikmati hidangan yang memuaskan selera tanpa perlu dihantui rasa risau atau terpaksa mengikat perut pada keesokan harinya akibat kehabisan bajet.
Namun begitu, keistimewaan tempat ini bukan sekadar bersandarkan kepada faktor harga yang murah dan rasa yang memikat semata-mata. Cafe Ezzati juga menjadi pilihan utama para mahasiswa kerana faktor suasananya yang sangat kondusif, tahap kebersihan yang sentiasa dijaga rapi, serta kedudukannya yang sangat strategik berhampiran dengan blok-blok fakulti utama. Kelebihan logistik ini memudahkan pelajar untuk singgah berehat di antara sela masa kuliah yang padat.
Secara tuntasnya, kewujudan Cafe Ezzati di bumi bertuah Tanjong Malim ini membawa impak yang sangat besar dan bermakna. Ia bukan sekadar sebuah premis perniagaan makanan, tetapi merupakan simbol sokongan moral yang membantu mengurangkan bebanan mental mahasiswa berkaitan isu kewangan. Melalui hidangan yang mampu milik, mahasiswa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan fizikal mereka dengan makanan yang seimbang, malah dapat memberikan fokus yang sepenuhnya terhadap kecemerlangan akademik tanpa perlu runsing memikirkan baki wang di dalam akaun bank. Pengalaman berkumpul, makan bersama rakan-rakan, dan berkongsi cerita di Cafe Ezzati pastinya akan kekal sebagai antara memori terindah yang paling sukar dilupakan oleh setiap bergelar mahasiswa UPSI setelah melangkah keluar ke alam kerjaya kelak.