Oleh: Muhamad Iman Ziedan bin Suhaidi, Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Mumbai, India - Perkhidmatan pembantu rumah dengan kadar serendah AS$1 sejam kini menjadi fenomena di India, apabila permintaan meningkat pesat dalam kalangan penduduk bandar yang mahukan servis pantas dan mampu milik.
Menurut laman web daripada Reuters, Fenomena ini berkembang pesat khususnya di bandar utama seperti New Delhi dan Mumbai. Gaya hidup masyarakat bandar yang semakin sibuk serta keperluan kepada perkhidmatan segera telah mendorong peningkatan permintaan terhadap khidmat pembersihan rumah yang lebih fleksibel. Harga yang rendah turut menjadi faktor utama yang menarik minat pengguna, sekali gus menyebabkan ribuan tempahan dibuat setiap hari melalui platform tersebut.
Selain memenuhi keperluan pengguna, model perniagaan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah, terutamanya wanita. Melalui platform ini, pekerja berpeluang memperoleh pendapatan yang lebih baik berbanding pekerjaan tidak formal sebelum ini, dengan ada yang mampu menjana sehingga AS$5,000 setahun. Di samping itu, syarikat turut menyediakan latihan asas dan pendedahan kepada penggunaan teknologi bagi membantu pekerja menyesuaikan diri dengan sistem kerja berasaskan aplikasi.
Walau bagaimanapun, perkembangan pesat ini turut menimbulkan kebimbangan berkaitan aspek keselamatan pekerja. Pekerja yang dihantar ke rumah pelanggan yang tidak dikenali berdepan risiko gangguan dan ancaman keselamatan. Walaupun syarikat telah memperkenalkan beberapa langkah seperti butang kecemasan (SOS) dalam aplikasi serta latihan perlindungan diri, langkah tersebut masih dianggap belum mencukupi oleh sesetengah pihak. Menurut laporan Reuters, isu keselamatan kekal sebagai cabaran utama dalam industri ini.
Dalam masa yang sama, industri perkhidmatan domestik digital di India menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan potensi pasaran bernilai berbilion dolar. Namun begitu, model perniagaan yang bergantung kepada harga rendah dan promosi agresif menyebabkan banyak syarikat masih belum mencapai keuntungan yang stabil. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai kelestarian jangka panjang industri tersebut.
Secara keseluruhannya, fenomena pembantu rumah $1 sejam ini mencerminkan perkembangan pesat ekonomi gig di India yang menawarkan kemudahan kepada pengguna serta peluang pekerjaan kepada masyarakat. Namun, penambahbaikan dari segi keselamatan pekerja dan kestabilan perniagaan amat diperlukan bagi memastikan industri ini dapat berkembang secara mampan pada masa hadapan.