Oleh: Athirah Mohd Roslan & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
VANCOUVER: Presiden Kanada, Mark Carney memberi amaran bahawa hubungan ekonomi rapat antara negaranya dengan Amerika Syarikat (AS) kini bukan lagi satu kelebihan, sebaliknya telah menjadi kelemahan yang perlu diperbetulkan segera.
Dalam ucapan video, Carney menjelaskan bahawa perubahan dasar perdagangan AS, termasuk kenaikan tarif yang tinggi, telah memberi kesan negatif kepada ekonomi Kanada.
Menurut beliau, tarif yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump, memberi tekanan kepada industri utama seperti automotif dan keluli, sekali gus menjejaskan pekerjaan serta pelaburan dalam negara.
Carney turut menegaskan bahawa ketidaktentuan dalam dasar ekonomi AS menyebabkan banyak syarikat menangguhkan pelaburan kerana bimbang terhadap risiko masa depan.
Sehubungan itu, kerajaan Kanada kini merancang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap AS dengan memperluaskan hubungan perdagangan dengan negara lain serta menarik lebih banyak pelaburan asing.
Beliau juga berjanji akan memberikan perkembangan terkini kepada rakyat mengenai usaha kerajaan dalam mempelbagaikan ekonomi negara dan mengukuhkan kedudukan Kanada di peringkat global.
Kenyataan ini dibuat ketika hubungan antara Kanada dan AS dilihat semakin tegang susulan perubahan dasar perdagangan dan retorik politik yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Kanada.
Secara keseluruhannya, Carney menegaskan bahawa Kanada tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada AS dan perlu mengambil langkah proaktif bagi menjamin kestabilan ekonomi negara pada masa hadapan. – Associated Press