(Gambar Ahli Majlis Tertinggi & Penasihat MAMPAN UPSI)
Oleh: Amirah Madihah Abdul Muttalib & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJUNG MALIM – Persatuan Mahasiswa Anak Pahang UPSI (MAMPAN), di bawah bimbingan penasihatnya Encik Mohamad Asri bin Seman telah menjalankan satu inisiatif yang digerakkan oleh Yang Dipertua MAMPAN, Ahmad Arif Zhafran, dari 3 April 2026 hingga 5 April 2026 berjaya menyatukan mahasiswa anak Pahang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam sebuah komuniti yang lebih tersusun dan mampan.
Inisiatif ini tercetus daripada kesedaran terhadap keperluan untuk mewujudkan jaringan sokongan dalam kalangan mahasiswa yang berasal dari negeri yang sama, terutamanya bagi mereka yang berada jauh dari keluarga. Melalui pendekatan yang lebih peribadi, setiap pelajar dihubungi secara individu bagi memastikan mereka merasa dihargai dan diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada komuniti tersebut.
Menurut Ahmad Arif Zhafran, pendekatan menggunakan mesej peribadi ini dipilih kerana ia lebih berkesan dalam membina hubungan yang lebih dekat berbanding sekadar hebahan umum. “Kami tidak mahu ia sekadar menjadi satu group chat biasa. Kami mahu setiap individu rasa mereka benar-benar dialu-alukan dan penting dalam komuniti ini,” katanya ketika ditemu bual.
Hasil usaha tersebut, komuniti Mahasiswa Anak Pahang UPSI kini semakin berkembang dengan penyertaan pelajar dari pelbagai fakulti dan latar belakang. Kumpulan ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium komunikasi, malah turut menjadi platform untuk berkongsi maklumat akademik, kebajikan, serta menganjurkan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan sesama ahli.
Selain itu, penubuhan komuniti ini juga dilihat sebagai satu langkah ke arah membina jaringan sokongan yang lebih kukuh dalam membantu mahasiswa menghadapi cabaran kehidupan kampus. Dengan adanya komuniti seperti ini, pelajar dapat saling membantu dari segi emosi, akademik dan sosial.
Inisiatif yang bermula daripada satu mesej ini jelas membuktikan bahawa usaha kecil mampu memberi impak besar apabila dilakukan dengan komitmen dan keikhlasan. Komuniti Mahasiswa Anak Pahang UPSI dijangka akan terus berkembang dan menjadi platform penting dalam menyatukan suara serta kebajikan anak Pahang di kampus.