Oleh:Nor Bazlaa Damia & Dr. Sauffiyan Abu Hasan

(Gambar 1: Persembahan semasa program berlangsung)
TANJUNG MALIM, 17 April 2026 – Festival Warisan Seni Nusantara (FESWARA) 2026 berjaya menghimpunkan mahasiswa tempatan dan delegasi dari Indonesia dalam usaha memperkukuh hubungan budaya dan akademik melalui pelbagai aktiviti berteraskan warisan Nusantara. Program yang berlangsung selama lima hari bermula 13 hingga 17 April di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti bengkel tarian tradisional, permainan warisan, aktiviti kolaboratif, pertandingan drama tari dan acara kemuncak, Pentas Citra Budaya.
FESWARA dianjurkan sebagai platform untuk menghubungkan mahasiswa dari negara serumpun melalui perkongsian seni, budaya dan pengalaman. Selain mengetengahkan keindahan warisan Nusantara, program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami budaya negara lain secara lebih dekat dalam suasana yang harmoni dan inklusif.
Menurut Pengarah Program FESWARA 2026, Christopher Leo, pelajar Semester 4 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial UPSI, festival tersebut bertujuan memperkukuh jalinan hubungan akademik dan budaya antara universiti tempatan dengan institusi pendidikan tinggi luar negara melalui aktiviti pertukaran seni dan ilmu. Beliau berkata, program itu turut menjadi medium untuk meraikan kepelbagaian seni dan warisan Nusantara dengan menghimpunkan pelbagai persembahan serta ekspresi budaya daripada negara-negara serumpun. “Festival ini memberi pengalaman silang budaya yang autentik kepada mahasiswa melalui interaksi dan penglibatan bersama rakan sebaya dari luar negara,” katanya. Tambah beliau, penglibatan mahasiswa dalam festival seperti ini dapat membantu meningkatkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerjasama antarabangsa yang penting dalam dunia pekerjaan pada masa hadapan.
Antara pengisian yang mendapat perhatian ramai ialah Pentas Citra Budaya yang menampilkan persembahan seni dan tarian tradisional daripada peserta Malaysia dan Indonesia. Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan penonton, malah menjadi medium untuk memperkenalkan keunikan budaya kedua-dua negara kepada warga kampus. Selain itu, festival ini turut mencerminkan usaha UPSI dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa melalui aktiviti yang melibatkan mahasiswa secara langsung. Kehadiran delegasi luar negara memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan, memahami latar budaya yang berbeza dan membina hubungan persahabatan merentasi sempadan negara.

(Gambar 2: Pengarah program bersama penonton)
Salah seorang pengunjung program, Muhamad Iman Ziedan, pelajar Semester 4 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial UPSI, berkata beliau mengetahui tentang FESWARA melalui hebahan poster dalam kumpulan kolej kediaman serta perkongsian daripada pengarah program sendiri. Menurutnya, minat untuk melihat sendiri perjalanan program berskala besar itu menjadi antara faktor yang mendorong beliau untuk hadir. “Program seperti ini dapat memperkenalkan budaya kita kepada negara lain dan pada masa yang sama memberi peluang kepada kita untuk melihat kesenian dan kebudayaan dari negara luar,” katanya. Beliau turut menyifatkan semua aktiviti yang disusun sepanjang festival sebagai menarik dan memberi pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.
Antara pengalaman yang paling bermakna baginya ialah penyertaan dalam Nexus Dialogue, salah satu pengisian program yang membincangkan pelbagai isu semasa melibatkan perspektif dua negara. “Saya dapat menimba ilmu baharu dan program ini membuka minda saya mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam negara dan juga di peringkat global,” katanya. Beliau turut berpendapat bahawa pendekatan yang digunakan dalam FESWARA berjaya menarik minat golongan muda kerana menggabungkan elemen budaya dan hiburan dalam satu program. “Generasi muda lebih tertarik kepada hiburan, jadi apabila unsur budaya digabungkan dengan aktiviti yang menarik, ia membantu memperkenalkan warisan Nusantara dengan cara yang lebih dekat kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Christopher mengakui bahawa penganjuran festival antarabangsa seperti FESWARA bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran utama yang dihadapi ialah aspek kewangan, terutama dalam menyediakan kemudahan dan hospitaliti terbaik kepada delegasi luar negara sepanjang tempoh program berlangsung. “Cabaran terbesar sudah semestinya dari segi kewangan kerana kita perlu menyediakan hospitaliti yang terbaik untuk delegasi luar negara selama tujuh hari dan semuanya memerlukan kos yang tinggi,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada delegasi dari Indonesia yang bersama-sama menjayakan festival tersebut dan menyifatkan kerjasama yang terjalin sebagai elemen penting dalam kejayaan program. “Apabila pihak Indonesia sudi datang ke Malaysia untuk menjayakan program ini, ia memberi makna yang besar kepada penganjuran FESWARA. Tanpa mereka, program ini mungkin tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang,” katanya.
Selain mempromosikan warisan budaya, festival ini turut menjadi ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan. Pengalaman mengendalikan serta menyertai program berskala antarabangsa memberi nilai tambah kepada mahasiswa dalam menghadapi cabaran dunia global yang semakin kompetitif. Muhamad Iman Ziedan berharap program seperti FESWARA dapat diteruskan pada masa hadapan kerana memberi impak positif kepada mahasiswa dan institusi. Menurutnya, program berskala besar seperti ini bukan sahaja membantu mengangkat nama universiti, malah menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan pelajar. Beliau juga berharap lebih banyak negara luar dapat bekerjasama dalam penganjuran FESWARA pada masa akan datang agar program tersebut terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai mahasiswa.
FESWARA 2026 bukan sahaja berjaya mengetengahkan keindahan seni dan budaya Nusantara, malah menjadi platform yang menghubungkan mahasiswa merentasi sempadan negara. Penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan bagi memastikan warisan budaya terus dihargai dan dipelihara oleh generasi muda, sekali gus memperkukuh hubungan serantau melalui seni dan budaya.