SOUNDSCAPE STUDIO DI UPSI: PLATFORM PEMBELAJARAN AUDIO DAN PRODUKSI KREATIF PELAJAR

 

(Ahli Studio Soundscape sedang menggunakan fasiliti studio)


Oleh: Nurul Sufi Sufa’a Binti Mohamad Nizam & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


TANJONG MALIM – Soundscape Studio yang terletak di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah fasiliti audio yang mula dibangunkan pada tahun 2024 bagi menyokong penghasilan kandungan kreatif pelajar dalam bidang komunikasi dan media.


Studio ini berfungsi sebagai ruang rakaman profesional yang membolehkan pelajar menghasilkan pelbagai kandungan audio seperti podcast, voice over, dan rakaman suara. Walaupun terbuka kepada semua pelajar UPSI, kemudahan ini lebih memberi fokus kepada pelajar FBK yang terlibat dalam bidang komunikasi. Selain itu, studio ini turut diuruskan oleh kumpulan khas yang dikenali sebagai Soundscape Team, yang bertanggungjawab dalam operasi serta pengendalian harian studio.


Bagi Kaunsalya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Sosial Komunikasi) semester dua dan juga ahli Soundscape Studio, pengalaman menggunakan studio ini memberi pendedahan baharu dalam bidang produksi audio.

“Cabaran utama saya adalah dari segi teknikal kerana saya masih baru dan sedang belajar cara mengendalikan peralatan studio,” katanya.

(Kausalya, ahli Soundscape Studio)


Walaupun masih dalam proses pembelajaran, Kaunsalya melihat pengalaman tersebut sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran dirinya dalam bidang audio. Beliau berharap dapat lebih memahami aspek teknikal supaya lebih yakin dalam mengendalikan studio pada masa akan datang.


Sementara itu, Adlin yang merupakan staf FBK, UPSI serta pelajar sarjana dalam bidang komunikasi sosial, telah terlibat dalam pengurusan Soundscape Studio selama kira-kira empat tahun. Beliau juga berperanan sebagai penerbit rancangan yang mengendalikan operasi studio.


Menurut beliau, Soundscape Studio berpotensi menjadi platform penting dalam memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam bidang produksi audio.

“Harapan saya adalah untuk melihat lebih ramai pelajar menggunakan studio ini dan mempelajari cara mengendalikannya dengan betul,” katanya.

(Adlin, penerbit Soundscape Studio bersama penulis)


Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak bengkel dan latihan teknikal diadakan bagi membantu pelajar memahami penggunaan studio dengan lebih sistematik serta meningkatkan kemahiran dalam bidang produksi media.


Soundscape Studio FBK UPSI bukan sahaja berfungsi sebagai ruang rakaman audio, tetapi juga sebagai platform pembelajaran praktikal yang membantu pelajar membina kemahiran dalam bidang komunikasi dan produksi media.


Dengan adanya sokongan daripada Soundscape Team serta penglibatan aktif pelajar, studio ini dilihat berpotensi menjadi pusat latihan kreatif yang mampu melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang audio pada masa akan datang.