Sukan Sunnah Jadi Pilihan, Pusat Ulul Albab UPSI Tarik Minat Mahasiswa


(Poster promosi program Kelas Sukan Sunnah yang dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab UPSI)

Oleh: Amirah Madihah Abdul Muttalib & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


TANJUNG MALIM – Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Kelas Sukan Sunnah: Memanah dan Berenang bagi memberi peluang kepada mahasiswa mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berteraskan sunnah.


Program yang akan berlangsung di Lapang Sasar Memanah UPSI dan Kolam Renang UPSI itu dijangka mendapat sambutan positif daripada pelajar yang berminat mencuba aktiviti memanah dan berenang secara lebih teratur. Dengan yuran penyertaan serendah RM50, program ini terbuka kepada mahasiswa UPSI yang ingin meningkatkan kecergasan fizikal di samping mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.


Menurut seorang mahasiswa UPSI, aktiviti memanah memberi pengalaman baharu kerana memerlukan tahap fokus dan kesabaran yang tinggi. “Pada saya, memanah nampak mudah tetapi sebenarnya perlukan teknik dan fokus yang betul. Program seperti ini sangat menarik sebab pelajar dapat belajar daripada asas,” katanya.


Seorang lagi mahasiswa pula berpendapat program seperti ini mampu membantu mahasiswa mengurangkan tekanan belajar dan pada masa sama mengeratkan hubungan sesama pelajar. “Kelas macam ini memang bagus sebab kita dapat buat aktiviti sihat bersama kawan-kawan. Selain hilangkan stres, kita juga dapat tambah pengalaman baharu,” ujarnya.


Selain memberi pendedahan kepada sukan sunnah, program tersebut turut bertujuan membentuk mahasiswa yang lebih aktif, berdisiplin dan seimbang dari segi fizikal serta mental. Aktiviti seperti ini juga dilihat mampu mewujudkan komuniti kampus yang lebih sihat dan positif.


Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat menarik lebih ramai mahasiswa untuk menyertai aktiviti berfaedah serta memupuk minat terhadap sukan sunnah dalam kalangan pelajar UPSI.